NGO universiti aktif santuni siswa siswi – MPN | DagangNews Skip to main content

NGO universiti aktif santuni siswa siswi – MPN

oleh LAILA JAMALUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Isu siswa miskin mencatu wang saku dan terpaksa mengikat perut kerana kesempitan hidup masih berterusan. 

 

Jumlahnya kian bertambah apatah lagi dengan keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan.

 

Kemelut berlaku rentetan daripada kesan COVID-19, menyebabkan ramai keluarga menjadi miskin disebabkan terputus punca pendapatan kerana diberhentikan kerja dan perniagaan tidak serancak dahulu.

 

Pada masa sama anak mereka di universiti perlu meneruskan pengajian walaupun dalam suasana yang semakin tertekan.  

 

Menyedari cabaran itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) sering kali menyarankan kepada kerajaan supaya kebajikan pelajar ini diberi perhatian serius.

 

MPN mengesyorkan supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk lebih aktif menyalurkan bantuan kepada semua yang terkesan.

 

Malah Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya sebelum ini berkata, NGO, sukarelawan dan orang perseorangan banyak membantu golongan terkesan dalam pelbagai keadaan.

 

Beliau berkata, penyertaan lebih ramai NGO ini membantu kerajaan menangani golongan rentan untuk meneruskan kehidupan dengan suasana pasca COVID-19 yang semakin tertekan. 

 

Kini ramai menjadi susuh dan perlu dibantu segera demi kelangsungan hidup yang semakin mencabar.

 

Menyedari akan keperluan semasa dan mengetahui ada pelajar yang mengambil upah mencuci pinggan di kafe universiti mendorong Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Professor Madya Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid, memulakan program Happy Lunch For Needy bagi meringankan beban mereka.

 

MPN
Professor Madya Dr. Ahmad Faisal Abdul Hamid

 

Katanya, program yang menyediakan makanan tengah hari itu bertujuan mengelakkan mereka belajar dalam keadaan lapar yang boleh menjejaskan konsentrasi. 

 

“Memang ramai pelajar yang cuma makan sekali sehari dan keadaan ini mengingatkan saya kepada diri sendiri ketika belajar di Universiti Al-Azhar dahulu. pensyarah selalu memberi makanan kepada pelajar yang tiada wang.   

 

“Jadi timbul idea untuk mewujudkan kitaran berbuat baik dengan membantu pelajar saya pula. Bermula dengan 60 bungkus sehari pada 2016, kini jumlahnya meningkat kepada 200 bungkus untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,900 sebulan,” katanya.

 

MPN
Antara juadah yang disediakan dalam program Happy Lunch For Needy 7.0.

 

Ahmad Faisal mengakui, jumlah pelajar susah kian ramai berikutan pandemik COVID-19 kerana tahun ini beliau menerima 600 permohonan untuk menjadi peserta dalam program Happy Lunch For Needy 7.0  yang memasuki tahun ketujuh.
 

Katanya, usaha itu menarik perhatian rakan sejawat dan kenalan yang membuatkan dia mula ‘menjual’ pakej harian untuk ditaja dengan kos RM1,100 bagi menyediakan 200 pek makanan tengah hari bernilai RM5.50 sebungkus supaya sama-sama dapat bersedekah.

 

“Wang untuk operasi program ini datang daripada pelbagai sumber. Selain tajaan dan sumbangan, saya juga mengajar kelas agama dan bayaran mengajar itu saya laburkan semuanya ke dalam program ini. 

 

MPN
Antara juadah yang disediakan dalam program Happy Lunch For Needy 7.0.

 

“Saya tidak minta banyak daripada pelajar yang dibantu ini, cuma selalu berpesan supaya  mendoakan para penyumbang dan jangan ponteng kelas supaya boleh berjaya. Saya berbangga kerana kini ada yang turut menyumbang untuk membantu pelajar,” katanya.

 

Usaha itu walaupun kecil tetapi memberi impak besar kepada kehidupan seseorang. - DagangNews.com