Ni Hsin bekerjasama dengan USM, Focus, TAILG bagi memacu mobiliti elektrik kenderaan dua dan tiga roda di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin bekerjasama dengan USM, Focus, TAILG bagi memacu mobiliti elektrik kenderaan dua dan tiga roda di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Ni Hsin Group Berhad menerusi Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd., memeterai kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Focus Applied Technologies Sdn Bhd (Focus), dan Dongguan Tailing Electric Vehicle Co Ltd (TAILG), bagi membantu Malaysia mempromosi mobiliti elektrik, terutamanya kenderaan dua dan tiga roda dalam persekitaran pengangkutan Malaysia.

 

Menerusi kerjasama itu, semua pihak komited untuk meneroka peluang membangunkan, menyokong, dan memperkayakan aktiviti penyelidikan, program pendidikan serta latihan dalam bidang kepakaran masing-masing, sekali gus mewujudkan manfaat sinergi untuk semua.

 

TAILG akan menderma 50 unit motosikal elektrik Ebixon Bold yang dipasang oleh Ni Hsin EV Tech, untuk USM menjejak dan mengumpul data berkaitan dengan sokongan Focus, yang akan menyediakan perkakasan, pemasangan dan pentauliahan kenderaan tersebut.

 

Selain itu, Focus akan menyediakan sokongan kewangan tidak melebihi RM10,000 kepada USM, bagi menampung masa dan usaha yang terlibat dalam membantu kajian.

 

Pelbagai pengguna akhir dengan keperluan kenderaan yang berbeza perlu dipilih bagi mengukur prestasi dan kebolehgunaan kenderaan dalam situasi yang berbeza. Kenderaan tersebut akan diberikan secara percuma selama satu tahun.

 

Berikutan itu, USM akan menjalankan ujian kenderaan, pengesanan, pengelogan data, soal selidik operator dan temu bual, dan pemeriksaan kenderaan akhir projek. Pada akhir kajian, pengguna akhir mungkin layak menerima motosikal elektrik secara kekal.

 

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam kajian itu yang akan memberi gambaran tentang pelbagai aspek penggunaan dua roda elektrik di Malaysia supaya kami dapat membuat penambahbaikan pada reka bentuk dan ciri-cirinya bagi memenuhi jangkaan pengguna. 

 

"Ini akan meningkatkan daya tarikannya kepada orang ramai dan menggalakkan penggunaan EV (kenderaan elektrik) yang lebih pantas.

 

“Kerjasama strategik ini membolehkan pihak-pihak menyumbang kepada pendidikan awam dan kesedaran tentang daya maju penggunaan kenderaan dua roda elektrik untuk membantu komitmen kerajaan Malaysia terhadap inisiatif rendah karbon, seperti yang digariskan dalam pelan Bandar Rendah Karbon Nasional 2030,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com