Ni Hsin kembangkan pasaran motosikal elektrik Ebixon ke Sarawak | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin kembangkan pasaran motosikal elektrik Ebixon ke Sarawak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mac - Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV TECH), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad telah mengembangkan pasaran motosikal elektrik Ebixon ke Sarawak.

 

Pelancaran motosikal elektrik Ebixon di Sarawak bersedia untuk merevolusikan industri pengangkutan dan pelancongan di bumi kenyalang tersebut sambil mempromosikan gaya hidup hijau dan kelestarian menerusi penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan penduduk dan pelancong negeri itu. 

 

NH EV TECH, telah menandatangani perjanjian peniaga induk (MDA) dengan MYUS Autotech Sdn Bhd pada 26 Mac 2024 untuk penjualan dan penyewaan motosikal elektrik Ebixon di Sarawak, kata Ni Hsin dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pengarah Urusan NH EV TECH, Khoo Chee Kong berkata, syarikat itu mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengembangkan pasaran motosikal elektrik menerusi kerjasama rapat dengan MYUS. 

 

“Kami percaya penggunaan berleluasa motosikal elektrik mesra alam Ebixon ini akan membawa Malaysia ke arah pembangunan hijau, mengurangkan kesan perubahan iklim dan gaya hidup lestari bagi membantu memenuhi objektif kerajaan dalam mencapai karbon neutral menjelang 2050,” katnya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MYUS, Datuk Nellsen Young menambah bahawa inisiatif berkenaan adalah selaras dengan matlamat dan aspirasi berwawasan Kerajaan Negeri Sarawak, yang diterajui Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

 

“Beliau mempunyai visi untuk pertumbuhan mampan, didorong oleh inovasi dan kreativiti, ke arah daya tahan ekonomi, kemakmuran bersama dan negeri mesra alam.

 

“Menyedari potensi motosikal elektrik dalam meningkatkan pelancongan mampan, MYUS komited untuk menyediakan pilihan pengangkutan alternatif kepada penduduk tempatan dan pelancong di Sarawak,” tambahnya.

 

Majlis pelancaran Ebixon telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Muzium Budaya Borneo diiringi oleh Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting. - DagangNews.com