Ni Hsin meterai EADA dengan VMoto bagi pemasangan, pengedaran eksklusif motosikal elektrik berkuasa tinggi | DagangNews Skip to main content

Ni Hsin meterai EADA dengan VMoto bagi pemasangan, pengedaran eksklusif motosikal elektrik berkuasa tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Sept - Ni Hsin Group Berhad menerusi Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. memeterai Perjanjian Pemasangan dan Pengedaran Eksklusif (EADA) bersama Nanjing Vmoto Manufacturing Co, Ltd bagi pemasangan kenderaan elektrik dua roda berkuasa tinggi berjenama VMoto di Malaysia.

 

Menerusi perjanjian itu, VMoto akan secara eksklusif membekalkan dan menyampaikan komponen CKD merangkumi alat ganti dan perisian untuk model CPX-Pro dan TC-Max manakala kumpulan itu akan memasang serta menguji serta menjalankan kawalan kualiti dan mentauliahkan kenderaan dua roda elektrik untuk diedarkan di Malaysia. 

 

"Ni Hsin EV Tech akan memiliki hak eksklusif untuk memasang dan mengedarkan motosikal/skuter elektrik berjenama VMoto/Super Soco dan akan dikeluarkan secara besar-besaran," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

VMoto mengeluarkan dan mengedarkan produk kenderaan elektrik berprestasi tinggi dan kompetitif ke pasaran perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pelanggan (B2C) dibawah tiga jenama termasuk VMoto, Super Soco dan Ducati iaitu CUX Ducati edisi istimewa

 

Pasaran global VMoto merfangkumi Eropah, Asia Pasifik, AMerika Utara, Amerika Utara, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

 

"Rangkaian pengedaran B2C globalnya terdiri daripada 62 pengedar antarabangsa dan lebih 1,500 pengedar di lebih 65 negara," katanya.

 

Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama itu dan percaya pihaknya mempunyai produk sesuai untuk segmen pasaran B2B dan B2C di rantau ini.

 

Beliau berkata, kenderaan dua roda elektrik sangat mudah disesuaikan untuk tugas berat jarak jauh. 

 

"Kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua pihak mengembangkan bahagian mereka dalam pasaran EV dua roda. 

 

"Produk tersebut amat sesuai untuk keperluan pasaran terutamanya dalam segmen B2B dan perniagaan kepada kerjaan (B2G), iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam, pelabuhan, syarikat keselamatan dan seumpamanya," katanya.- DagangNews.com