KUALA LUMPUR 13 Jun - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu ini berikutan aktiviti pengambilan untung.
Peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga dijangka berada antara RM5,500 dan RM6,000 satu tan, dipengaruhi oleh mata wang tempatan yang rendah, inflasi di Amerika Syarikat dan sekatan pergerakan di Shanghai.
“Bagi pasaran niaga hadapan (dagangan kertas), peniaga berharap harga naik atas dasar tekanan spekulasi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran akan mula menarik aktiviti belian saham pada harga rendah dengan kecenderungan meningkat berikutan jualan baru-baru ini.
Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan stok MSM Malaysia merosot 7.03 peratus kepada 829,855 tan pada Mei 2022 daripada 892,596 tan dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Menurut agensi itu, eksport minyak sawit naik 26.67 peratus kepada 1.36 juta tan pada Mei daripada 1.07 juta tan pada April manakala eksport minyak isirung sawit meningkat 8.95 peratus bulan ke bulan kepada 81,135 tan daripada 74,472 tan sebelum ini.
Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia rendah berikutan penurunan pasaran minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian dan langkah Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawit, yang terus memberi tekanan kepada harga dan permintaan MSM Malaysia.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Jun 2022 merosot RM423 kepada RM6,281 satu tan, Julai 2022 berkurangan RM532 kepada RM6,143 satu tan, Ogos 2022 susut RM533 kepada RM5,920 satu tan, September 2022 turun RM491 kepada RM5,766 satu tan, Oktober 2022 merosot RM496 kepada RM5,677 satu tan dan November 2022 berkurangan RM433 kepada RM5,665 satu tan.
Jumlah dagangan susut kepada 258,636 lot daripada 320,844 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 221,157 kontrak daripada 259,763 kontrak sebelum ini.
Pasaran ditutup pada Isnin (6 Jun) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan merosot RM150 kepada RM6,550 satu tan. - DagangNews.com