KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung.
Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pergerakan harga minggu depan dijangka terhad antara paras RM3,200 dan RM3,700 setan metrik.
"Unjuran rendah itu disebabkan terutamanya stok MSM yang tinggi pada Julai di Malaysia dan Indonesia. Permintaan biasa-biasa sahaja (tidaklah sangat baik atau pun sangat teruk),” katanya kepada Bernama.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dalam laporannya yang dikeluarkan pada 10 Ogos, mendedahkan stok MSM Malaysia bagi Julai 2022 meningkat 2.79 peratus kepada 905,946 tan metrik daripada 881,315 tan metrik pada Jun 2022.
Keseluruhannya, stok minyak sawit meningkat 7.71 peratus kepada 1.77 juta tan metrik daripada 1.65 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Teh berkata, ketidakpastian global ketika ini seperti perang Ukraine dan kebimbangan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan serta inflasi dan kemelesetan telah membawa kepada penurunan di kebanyakan pasaran komoditi termasuk MSM.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng mengunjurkan niaga hadapan MSM diniagakan dalam jajaran antara RM3,900 dan RM4,200 setan metrik.
Beliau mengunjurkan niaga hadapan MSM diniagakan dengan kecenderungan meningkat memandangkan aktiviti belian pada harga rendah di tengah-tengah kelemahan ringit berbanding dolar AS dan jangkaan eksport kukuh pada minggu-minggu akan datang.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta September 2022 turun RM315 kepada RM4,090 setan metrik, Oktober 2022 susut RM306 kepada RM4,101 setan metrik, November 2022 berkurangan RM318 kepada RM4,093 setan metrik dan Disember 2022 jatuh RM329 kepada RM4,103 setan metrik.
Kontrak Januari 2023 turun sebanyak RM342 kepada RM4,132 dan Februari 2023 susut RM339 kepada RM4,181 setan metrik.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 278,307 lot daripada 284,000 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 183,505 kontrak
daripada 191,133 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan berkurangan sebanyak RM250 kepada RM4,200 setan metrik. - DagangNews.com