Nik Amlizan dikatakan telah berundur dari LTAT | DagangNews Skip to main content

Nik Amlizan dikatakan telah berundur dari LTAT

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Nik Amlizan Mohamed dikatakan sudah melepaskan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), lapor The Edge Market petang ini.

Setakat 5 petang ini, belum ada kenyataan rasmi daripada LTAT mengenai laporan tersebut yang memetik sumber dalaman.

Sekiranya benar, pengunduran Nik Amlizan dikaitkan dengan desas-desus pasaran bahawa rancangan untuk menyahsenaraikan Boustead Holdings Bhd. di mana LTAT menguasai 59.44% kepentingan di dalamnya, tidak akan diteruskan.

Nik Amlizan yang dilantik ke jawatan itu pada September 2018 oleh pentadbiran Pakatan Harapan bagi menggantikan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Sebelum itu, beliau merupakan ketua pegawai pelaburan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), di mana beliau sudah berkhidmat selama 11 tahun.

Desas-desus pasaran antara lain mengatakan rancangan pengurusan LTAT untuk menyahsenaraikan Boustead itu tidak akan diteruskan. Nik Amlizan juga menduduki kerusi pengarah bukan eksekutif Boustead sejak November 2018.

Perkembangan hari ini juga dilihat berkait rapat dengan pengumuman yang terpaksa dibuat oleh Boustead pada 25 September lalu, berhubung langkah tersebut.

Dalam kenyataan notis media itu, Boustead menyatakan kenyataan tersebut tidak bermaksud wujud hasrat teguh LTAT untuk melaksanakan cadangan berkenaan dan juga tiada kepastian bagi LTAT untuk meneruskannya pun. - DagangNews.com