KUALA LUMPUR 18 April - Nilai import Malaysia berjaya melepasi paras 100 bilion buat kali pertama pada Mac 2022 selepas mencatatkan pengembangan kepada RM104.9 bilion daripada RM80.8 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.
Ketu Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai eksport Malaysia juga meningkat 25.4% kepada RM131.6 bilion daripada RM105 bilion manakala jumlah dagangan meningkat kepada sebanyak 27.3% kepada RM236.6 bilion.
Katanya, lebihan dagangan untuk Mac 2022 berkembang sebanyak 10.3% daripada RM24.2 bilion tahun lalu kepada RM26.7 juta untuk merekodkan lebihan untuk bulan ke-23 berturut-turut sejak Mei 2020.
“Pertumbuhan eksport pada Mac 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM106.9 bilion, menyumbang 81.2% kepada jumlah eksport, meningkat kukuh 22.8% dari tahun ke tahun.
“Berbanding Februari 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan peningkatan masing-masing iaitu 28.1%, 28.7%, 27.3% dan 34.8%.
“Pertumbuhan tahunan yang sangat ketara dalam eksport digambarkan melalui 166 daripada 255 kumpulan barangan, menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh injap dan tiub termionik. Bagi import, 186 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.
Mohd. Uzir berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.1 bilion), diikuti Jepun (+RM2.1 bilion), Korea (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.4 bilion), Indonesia (+RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (AS) (+RM1.3 bilion).
Sementara itu, China kembali menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import, meningkat RM3.4 bilion, diikuti Arab Saudi (+RM2.9 bilion), Taiwan (+RM2.8 bilion), Indonesia (+RM2.5 bilion), Singapura (+RM2.3 bilion), AS (+RM1.4 bilion) dan Thailand (+RM1.2 bilion).
Beliau berkata, peningkatan eksport itu didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM13.0 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM2.5 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).
Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM7.1 bilion); petroleum mentah (+RM6.1 bilion); keluaran petroleum (+RM3.0bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.2 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.6 bilion); biji logam dan serpihan logam (+RM1.2 bilion) dan arang batu
(+RM1.2 bilion).
Menurut DOSM, bagi prestasi suku pertama 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka.
Jumlah dagangan meningkat 23.6%, disokong oleh perkembangan eksport (+22.2%) serta import (+25.2%). - DagangNews.com