Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Allianz terus menjadi jenama insurans paling bernilai di dunia dengan menduduki tangga ke-34 daripada 100 Jenama Global Terbaik 2021, yang dikeluarkan oleh Interbrand.
Allianz berkata, nilai jenama Allianz telah meningkat sebanyak 17% daripada AS$2.2 bilion kepada AS$15.2 bilion dalam tempoh satu tahun
Katanya, peningkatan ini adalah yang paling kukuh sejak Allianz memasuki ranking 100 Jenama Global Terbaik pada tahun 2007 dengan nilai jenama AS$4 bilion.
"Menurut Interbrand, kenaikan kedudukan Allianz adalah berdasarkan prestasi operasi dan pandangannya yang kukuh, peningkatan hasil serta kekuatan jenama.
"Selain itu, pengaruh jenama Allianz terhadap keputusan pembelian pelanggan telah meningkat sepanjang tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syarikat itu berkata, untuk terus membina kekuatan jenamanya, Allianz telah meningkatkan kesepaduan, pertalian dan keistimewaan globalnya.
"Pendekatan "OneAllianz" digunakan untuk menyatukan kehadiran jenama Allianz ke dalam satu logo, satu mesej dan satu kempen.
"Lebih-lebih lagi, Allianz telah meningkatkan pengalaman pelanggan secara global dengan mendengar dengan teliti pelanggannya melalui pelbagai program dan menangani keperluan mereka yang tidak dipenuhi," katanya.
Interbrand merupakan syarikat pertama yang mempunyai metodologi yang diperakui sebagai mematuhi ISO 10668 (keperluan untuk penilaian jenama kewangan) dan ia memainkan peranan penting dalam pembangunan standard itu sendiri.
Sejak tahun 2000, kedudukan dan laporan Jenama Global Terbaik telah diterbitkan setiap tahun dan merupakan salah satu kedudukan yang paling diiktiraf dalam pengurusan jenama. -DagangNews.com