Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit November 2020 susut 1.2% | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan Perdagangan Borong dan Runcit November 2020 susut 1.2%

 

 Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Nilai  jualan  Perdagangan  Borong  &  Runcit  menyusut 1.2% pada November 2020 kepada RM110.4 bilion berbanding tempoh sama pada tahun sebelum ini. 

 

Ini  disebabkan oleh Perdagangan Runcit  yang  menguncup sebanyak 2.3% (-RM1.1 bilion), menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perdagangan Borong juga turun 0.7% (-RM0.4 bilion). 

 

Sebaliknya, Kenderaan Bermotor terus merekodkan pertumbuhan positif,  1.2% atau peningkatan sebanyak RM0.1 bilion.

 

“Bagi  November 2020,  indeks volum Perdagangan Borong & Runcit mencatatkan pertumbuhan  -1.6% tahun ke  tahun untuk mencapai 129.5 mata

 

“Kejatuhan ini disebabkan oleh Perdagangan Runcit dan Perdagangan Borong yang masing-masing turun 3.2% dan  0.5%

 

“Sebaliknya, Kenderaan Bermotor merekodkan pertumbuhan positif iaitu 0.4%. Bagi indeks volum pelarasan musim, ia merosot  0.7% bulan ke bulan,” jelasnya dalam siaran Perdagangan Borong & Runcit, November 2020.

 

Dalam pada itu, jualan Perdagangan Runcit mencatatkan pertumbuhan negatif  2.3% berbanding November 2019. 

 

Antara kumpulan yang menyumbang kepada penurunan itu ialah Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Bahan Api Kenderaan (-14.6%), Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Lain (-6.2%) dan Jualan Runcit di Kedai Khusus yang Menjual Barangan Kesenian & Rekreasi (-5.1%). 

 

Berbanding Oktober 2020, jualan bagi subsektor ini meningkat 1.4%.

 

Tambah Mohd. Uzir, nilai jualan subsektor Kenderaan Bermotor pula mencatatkan pertumbuhan 1.2% tahun ke tahun. 

 

Peningkatan ini didorong oleh Jualan Kenderaan Bermotor yang mencatatkan pertumbuhan 7.1% dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal, 6.3%

 

“Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini menurun  0.5%,” ujarnya lagi. - DagangNews.com