Nilai kontrak Fajarbaru bagi pembangunan semula Pangkalan TUDM Butterworth disemak semula, naik berganda kepada RM16.26 juta daripada RM7.36 juta | DagangNews Skip to main content

Nilai kontrak Fajarbaru bagi pembangunan semula Pangkalan TUDM Butterworth disemak semula, naik berganda kepada RM16.26 juta daripada RM7.36 juta

Pangkalan TUDM Butterworth.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 12 Jan - Nilai kontrak Fajarbaru Builder Group Bhd bagi fasa perancangan pembangunan semula kemudahan tentera di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang telah disemak kepada jumlah yang lebih tinggi iaitu RM16.26 juta berbanding RM7.36 juta sebelum ini.

 

Semakan itu untuk menyediakan laporan reka bentuk skematik 50% dalam fasa penting perancangan dan untuk menangguhkan tarikh kelulusan fasa penghantaran.

 

Pihak dalam kontrak telah bersetuju dengan semakan dan menandatangani surat ikatan pindaan (DOA) pada 22 Disember lalu untuk meminda kontrak, kata Fajarbaru dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Kontrak itu telah diberikan oleh Jabatan Pertahanan Australia pada Julai tahun lepas dengan melantik usaha sama antara Fajarbaru dan Avionics Pty Ltd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Avionics Holdings Pty Ltd. 


 

Butterworth
Pangkalan TUDM Butterworth turut menempatkan detasmen tentera Australia sebagai sebahagian daripada kerjasama pertahanan yang telah terjalin.


 

Avionics Holdings dimiliki 60% oleh Nick Brumley Family Trust, dengan 40% kepentingan lain dipegang oleh S&R Webb Family Trust.

 

Bahagian kontrak Avionics pada asalnya berjumlah AS$1.45 juta (RM4.53 juta) manakala Fajarbaru ialah RM7.36 juta

 

Dengan DOA, jumlah kontrak kini berjumlah RM16.26 juta ditambah A$1.45 juta atau secara kolektif RM20.79 juta.

 

Bahagian Fajarbaru meningkat sebanyak RM4.94 juta kepada RM12.3 juta manakala bahagian Avionics menyaksikan penambahan RM3.96 juta kepada RM8.49 juta.

 

Tempoh kontrak pada asalnya daripada 10 Julai hingga 13 November 2023, tetapi kini telah dilanjutkan kepada 30 April tahun ini.- DagangNews.com