Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Ramai pelabur yang bertanyakan CGS-CIMB Research, adakah ini waktu terbaik untuk membeli saham syarikat pengangkutan tenaga, MISC Berhad yang kini menyaksikan penurunan harga, kongsi firma penyelidik itu.
Dalam sebuah nota kajian yang dikeluarkan hari ini, CGS-CIMB menyarankan pelabur untuk ‘tambah’ saham MISC dengan harga sasaran (TP) dikekalkan kepada RM7.63.
Menjawab kepada persoalan berkenaan, firma penyelidik itu menyarankan pelabur untuk mengabaikan unjuran pendapatan yang lemah MISC pada tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
Ini berikutan, CGS-CIMB percaya bahawa bermula pertengahan 2021 dan seterusnya, atau sepanjang suku kedua 2021 (2Q21, sentimen terhadap MISC dapat meningkat apabila kadar kapal tangki mulai pulih.
“Penurunan simpanan terapung (floating storage) yang kembali ke tahap akhir 2019 mungkin berlaku pada pertengahan 2021, dengan penurunan harga minyak semasa dan pengurangan pengeluaran setiap sejuta tong harian (mbpd) Arab Saudi pada bulan Februari dan Mac akan mempercepatkan proses itu.
“Program pengedaran vaksin global dijangka mencapai kemajuan yang baik pada pertengahan tahun, yang dapat membantu meningkatkan permintaan untuk pengangkutan bahan bakar.
“Iran, yang telah menerima tekanan sekatan ketat ketika pentadbiran Donald Trump di Amerika Syarikat (AS), telah meningkatkan eksport minyaknya sejak beberapa bulan terakhir tahun 2020 setelah pasti Joe Biden memenangi jawatan presiden di negara itu,” jelas CGS-CIMB.
Dalam masa sama, CGS-CIMB juga menjangkakan harga minyak yang melonjak akhirnya akan mendorong Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC +) untuk mengurangkan pengeluaran pada sekitar separuh pertama 2021 (1H21).
Menurut nota kajian CGS-CIMB sebelum ini, MISC antara tiga buah syarikat yang menyaksikan aliran keluar asing tertinggi pada minggu lalu.
Baca : Dilema pelabur asing di pasaran ekuiti Malaysia
Firma penyelidik itu mendapati ini mungkin didorong oleh kadar tangki kapal dan ramalan pasaran CGS-CIMB bagi prestasi suku kewangan akan datang yang lemah.
Selain itu, pendekatan yang diambil pelabur asing juga dipercayai kerana penyewa tetap jangka panjang MISC tidak melihat syarikat itu akan menerima manfaat besar apabila penularan COVID-19 telah beransur pulih.
“Kadar tangki kapal merudum ke paras terendah kerana permintaan minyak mentah global yang lemah ekoran perintah berkurung dan penutupan sempadan negara akibat COVID-19,” ujar CGS-CIMB lanjut.
Firma penyelidik itu menjangkakan persekitaran kadar tangki yang lemah akan menjejaskan prestasi kewangan suku keempat 2020 (4Q20) MISC di mana bakal diumumkan pada 18 Februari ini. - DagangNews.com