Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 April - Kedua-dua indeks nilai seunit eksport dan import terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2021, bagi perbandingan bulan ke bulan.
Indeks nilai seunit eksport kekal positif bagi enam bulan berturut-turut manakala indeks nilai seunit import menunjukkan trend yang sama sejak Disember 2020, menurut laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri Februari 2021, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menunjukkan pertumbuhan positif 1.2% pada Februari 2021.
Ini didorong oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+4.8%), minyak galian (+3.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%), katanya.
“Walau bagaimanapun, indeks volum eksport jatuh 3.5% berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks minuman & tembakau (-20.2%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-13.6%) dan barang-barang keluaran kilang (-3.8%).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pertumbuhan 14.0% daripada 142.8 mata kepada 162.7 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksportjatuh 0.6% manakala indeks volum eksport mencatatkan kenaikan dua digit 18 3%,” ujarnya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan itu hari ini.
Sementara itu, indeks nilai seunit import pula meningkat 0.8% pada Februari 2021 berbanding bulan sebelumnya.
Pertumbuhan itu disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak galian (+6.3%), barang-barang keluaran kilang (+0.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.3%).
Namun, indeks volum import menguncup 5.3% yang disumbangkan oleh prestasi lemah indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-7.6%), barang-barang keluaran kilang (-7.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-6.3%).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Februari 2021 naik 9.8% daripada 143.1 mata kepada 157.2 mata.
“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 1.9% manakala indeks volum import meningkat 14.9%,” kata Mohd. Uzir.
DOSM turut melaporkan terma perdagangan Malaysia berkembang 0.4% bulan ke bulan daripada 101.1 mata kepada 101.5 mata pada Februari 2021.
Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut kekal positif 1.4% daripada 100.2 mata pada Februari tahun lalu. – DagangNews.com