Ninja Van lancar Ninja Restock sempena ulang tahun ke-9 | DagangNews Skip to main content

Ninja Van lancar Ninja Restock sempena ulang tahun ke-9

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Ninja Van Malaysia, syarikat logistik berteknologi di Asia Tenggara melancarkan 'Ninja Restock', bagi meluaskan perkhidmatannya di luar vertikal e-dagang sempena ulang tahun ke-9.

 

Syarikat itu berkata, sejak penubuhannya pada 2015, Ninja Van Malaysia terus memperkasa piawaian kecemerlangan logistik, menjadi salah sebuah organisasi amat dipercayai dan boleh diharapkan. 

 

Katanya, selama sembilan tahun, syarikat itu mencapai 100% liputan di seluruh negara dan menghantar lebih daripada 300 juta bungkusan, memperlihatkan komitmen yang kukuh terhadap kebolehterimaan dan kepuasan pelanggan.

 

"Pelancaran Ninja Restock merujuk kepada kepakaran organisasi dalam logistik ekspres e-dagang dan bertujuan untuk mengubah landskap pembekalan semula perniagaan ke perniagaan (B2B). 

 

"Perkhidmatan ini menangani ketiadaan ciri penting seperti penjejakan bungkusan waktu nyata dalam sektor pembekalan semula," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua B2B Ninja Van Malaysia, Clarence Fernandez berkata, pelancaran Ninja Restock merupakan perubahan besar dalam pemulihan B2B. 

 

Katanya, sektor logistik biasanya menyumbang dari 10% hingga 15% daripada kos operasi perniagaan. 

 

 

ninjavan

 

 

"Sebagai contoh, fungsi penjejakan bungkusan. Ini adalah teknologi penting dalam logistik ekspres e-dagang, mengambil kira pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat dalam sesebuah perjalanan dari permulaan sehingga akhir. 

 

"Bagaimanapun, keupayaan penjejakan ini tidak wujud buat masa ini dalam ruang pembekalan semula B2B. Akibatnya, penerima kurang kesedaran mengenai masa ketibaan penghantaran dan sering kali tidak menyedari ketibaannya sama sekali," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, Ninja Restock mengubah cara penghantaran B2B dilakukan ke rangkaian kedai runcit, meningkatkan kekerapan pembekalan semula inventori sambil mengurangkan inventori berlebihan. 

 

"Fleksibiliti baru ini memperkasakan jenama dan peruncit, memudahkan mereka menjadualkan penghantaran, dan membolehkan pengoptimuman penuh ruang paparan bagi produk mereka," katanya.

 

Katanya, dengan penyelarasan semula perkhidmatan logistik ekspres e-dagang, Ninja Restock bersedia untuk menetapkan piawaian baru untuk standard perkhidmatan dalam sektor pembekalan semula B2B. - DagangNews.com