Nissan Almera 1.0L : prestasi tanpa kompromi | DagangNews Skip to main content

Nissan Almera 1.0L : prestasi tanpa kompromi

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Nissan Almera Turbo serba baharu membawa aspek kehalusan buatan sedan segmen B popular ke satu tahap baru dengan ciri lebih segar dan menyeronokkan yang jarang ditemui di dalam segmen ini.

Ia bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu dari segi gayaan dinamik, perincian dan kualiti, malah Almera Turbo juga menawarkan prestasi meyakinkan, sekali gus menjadikannya sebuah sedan moden yang sempurna.


Enjin HR10DET 3 selinder dengan pengecas turbo dan 12 injap Dual Overhead Camshaft (DOHC) bersesaran 1.0 liter serba baharu merupakan ciri standard pada ketiga-tiga varian Nissan Almera Turbo. Enjin berprestasi tinggi ini menawarkan maklum balas lebih baik dan pecutan lancar dengan output yang sama seperti sebuah enjin 1.5 liter.
 

aaa

 

Enjin 1.0 liter turbo pada Nissan Almera Turbo ini mampu menjana kuasa 100PS dan kuasa kilas setinggi 151Nm (kilas rata) pada rpm serendah 2,400 hingga 4,000rpm. Ini bermakna enjin 1.0 liter turbo itu boleh mencapai kuasa kilas awal pada 2,400rpm dan mengekalkan kilas maksimumnya sehingga 4,000rpm. Lebih penting lagi, dengan kuasa kilas yang sentiasa ada pada julat rpm sepanjang pemanduan harian, memotong kenderaan lain kini lebih mudah dan meyakinkan.

Pecutan pantas daripada enjin 1.0 liter turbo ini boleh dicapai dengan adanya pintu sisa elektronik (Electronic Wastegate) baharu. Berbanding pintu sisa mekanikal konvensional, pintu sisa elektronik dilengkapi dengan satu sensor yang membaca dan mengawal tekanan turbo, seterusnya dapat mengurangkan jeda turbo dengan efisien dan menawarkan pecutan pantas.
 

aaa

 

Satu lagi teknologi penting dan inovatif di dalam enjin 1.0 liter turbo ini ialah Teknologi Salutan Cermin Gerek (Mirror Bore Coating Technology) yang diambil daripada Nissan GT-R. Salutan Cermin Gerek merupakan satu teknologi yang berfungsi meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengurangkan geseran di dalam enjin. Tidak memasukkan pelapik selinder, Teknologi Salutan Cermin Gerek sebaliknya menyemburkan besi molten ke atas permukaan gerek selinder yang kemudian membentuk satu lapisan salutan besi pada dinding di dalamnya. Ini memberikannya kemasan seperti cermin dan seretan yang berlaku ketika omboh beroperasi boleh dikurangkan. 
 

aaa


Berbanding pelapik selinder enjin yang biasanya setebal 2mm, teknologi baharu yang digunakan menawarkan salutan gerek cermin 0.2mm yang sangat nipis dengan aliran haba lebih baik. Aspek ini dapat meningkatkan prestasi penyejukan dan mengurangkan masalah enjin knocking, maka kecekapan enjin secara keseluruhannya dapat dipertingkatkan. Hasilnya, enjin ini dapat menjimatkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kuasa enjin. 

Mengurangkan ketebalan pelapik selinder sebanyak 2mm juga membuatkan enjin menjadi lebih ringan. Sekali gus mampu menambah baik aspek prestasi enjin tanpa memerlukan peranti khas yang lain.

Enjin 1.0 litre turbo HR10DET serba baharu mengadaptasi Sistem Intercooler Udara untuk menyejukkan udara yang dimampatkan oleh pengecas turbo. Intercooler berkenaan diletakkan di bahagian hadapan kereta di mana aliran udara boleh diventilasi sepenuhnya, terutama ketika kereta bergerak. 

“Enjin 1.0 liter turbo serba baharu direka untuk memenuhi keperluan pelanggan kami. Ia menjanjikan penjimatan bahan api dan prestasi terbaik tanpa berkompromi dengan aspek kebolehpercayaan dan ketahanan enjin. Emisi CO2 juga telah dikurangkan secara signifikan sebanyak 18% berbanding enjin sebelumnya. Ini sekali gus menjadikan Almera Turbo Serba Baharu lebih mesra alam,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., Christopher Tan.

Selain enjin turbo 1.0 liter itu, rangkaian kuasa itu hadir dengan XTRONIC CVT generasi seterusnya dan Sistem D-Step Logic untuk menambah baik rasa penukaran gear dan maklum balasnya. Pada masa sama ia mampu mencapai tahap penjimatan bahan api mengagumkan iaitu 18.4km/L* (5.4L/100km), bersamaan sekitar 650km dengan satu tangki penuh (35L).

Sistem D-Step Logic ialah satu sistem perisian komputer yang menggunakan input-input dinamik seperti kelajuan kenderan, posisi pedal minyak dan aplikasi pecutan untuk menentukan nisbah gear ideal yang diperlukan bagi menawarkan pecutan yang lancar dan selari. Pemandu boleh merasai sensasi penukaran gear seperti transmisi auto konvensional, bersama fleksibiliti dan kelancaran sebuah kotak gear CVT. Ia juga dilengkapi mode Sport yang memegang gear lebih lama untuk memberi prestasi pecutan lebih baik dan pemanduan sporty.

Selain prestasi dan inovasi menjadi poin jualan unik pada Nissan Almera Turbo, aspek bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) juga telah dikurangkan oleh rangkaian kuasa yang dipertingkatkan.  Satu cagak enjin yang unik dan lembut dipasang untuk menyerap dan mengurangkan getaran enjin.
 

aaa


Cermin sisi Nissan Almera Turbo Serba Baharu telah diposisikan semula untuk mengurangkan bunyi bising angin. Penambahbaikan pada tahap NVH dapat dirasai menerusi penambahan material penebat pada semua 4 pintu, tiang A, pengedap bahagian sisi badan kereta dan kaca lebih tebal yang membantu mengurangkan bunyi bising. Semua penambahbaikan ini menyumbang kepada kabin yang lebih senyap. - DagangNews.com

 

BERITA BERKAITAN:
NISSAN PERKENAL ALMERA TURBO SERBA BAHARU TETAPI HARGA DIUMUM KEMUDIAN