Nissan Motor Thailand berhasrat tambah lebih 2,000 pekerja baharu | DagangNews Skip to main content

Nissan Motor Thailand berhasrat tambah lebih 2,000 pekerja baharu

Nissan Motor Thailand

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Nissan Motor (Thailand) Co. Ltd. merancang untuk menambah lebih daripada 2,000 pekerja baharu bagi membangunkan pangkalan pengeluaran terakhirnya di Asia Tenggara.

Nissan Motor Thailand berkata, pihaknya akan membuat pengambilan pekerja baharu di kilangnya yang bertempat di wilayah Samut Prakan, selatan Bangkok.

"Unit ini menggaji 4,171 pekerja pada 31 Mac lalu.

"Dengan pengambilan pekerja baharu ini, ia akan meningkatkan jumlah tenaga kerja di Thailand sekitar 50%," jelas Nissan seperti dilapor Blooberg.

Keputusan untuk membuat pengambilan pekerja baharu di Thailand itu disebabkan oleh penyusunan semula operasinya di peringkat global.

Selain itu, ia turut didorong oleh keputusan  kumpulan yang berpangkalan di Yokohama untuk menghentikan pembuatan kenderaan di kilang Indonesia.

"Keputusan ini dilihat perlu setelah Nissan membuat penyusunan semula operasi global dengan memotong kira-kira ¥300 bilion dalam kos tetap tahunan untuk mendepani penurunan jualan yang mendadak.

"Awal tahun ini pula, kumpulan yang berpangkalan di Yokohama mengumumkan akan menghentikan pembuatan kenderaan di Indonesia.

"Perkara ini sekali gus menjadikan Thailand sebagai pusat pengeluaran utama yang terakhir di Asia Tenggara," tambah Nissan lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makato Uchida berkata, syarikat berkenaan perlu beroperasi secara sistematik atau keluar daripada beberapa pasaran lain seperti yang difokus dan diutamakan.  - DagangNews.com