Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Sejak Nissan Almera Turbo serba baharu dilancarkan di Thailand tahun lalu, banyak yang diperkatakan mengenai kecemerlangan reka bentuk baharu yang nyata segar dan mengagumkan apabila pertama kali melihatnya.
Gabungan reka bentuk Nissan Almera Turbo yang kemas, selesa dan luas meninggalkan kesan tanggapan pertama yang berkekalan. Tambahan dengan teknologi pintar yang memenuhi keperluan pelanggan Nissan, terutama generasi milenium and keluarga muda, Almera Turbo ini menjadi kebanggaan para pemandu.
Nissan Almera Turbo direka semula dengan menggunakan bahasa reka bentuk “Emotional Geometry” Nissan. Setiap sudut, garis dan lekuk Nissan Almera Turbo Serba Baharu cukup harmoni untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Daripada gril hadapan V-Motion dan lampu utama LED berbentuk boomerang pada bahagian hadapan sehinggalah bumbung ‘terapung’ berprofil rendah yang kemas dan lampu belakang LED, ia menyerlahkan penampilan yang aerodinamik dan canggih. Atas sebab itulah Nissan Almera Turbo disifatkan sebagai sebuah sedan yang bertenaga, provokatif dan meyakinkan.
“Nissan Almera Turbo merupakan cinta pandang pertama. Rasa ini akan lebih mendalam apabila anda menghargai ruang dalaman yang menggunakan bahan berkualiti premium. Malah, Nissan Almera Turbo juga padat dengan spesifikasi dan teknologi terkini. Kami yakin rakyat Malaysia akan merasakan Nissan Almera Turbo sebagai sebuah sedan segmen B yang paling menarik di Malaysia,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan.
Rekaan luaran baharu juga menawarkan dimensi yang lebih panjang, lebar dan rendah. Pada masa sama mengekalkan ruang dalaman luas yang sememangnya sinonim dengan Almera. Secara keseluruhannya, ia 70mm lebih panjang, 45mm lebih lebar dan 40mm lebih rendah berbanding Almera generasi pertama. Ini membuatkan Nissan Almera Turbo kelihatan seperti mempunyai saiz sedan segmen C, tetapi lebih sporty. Tapak rodanya juga telah dipanjangkan sebanyak 20mm.
Model | Panjang (mm) | Lebar (mm) | Tinggi (mm) | Tapak Roda (mm) |
ALMERA TURBO SERBA BAHARU | 4,495 (+70) | 1,740 (+45) | 1,460 (-40) | 2,620 (+20) |
Almera sekarang | 4,425 | 1,695 | 1,500 | 2,600 |
Ruang kabin Nissan Almera Turbo menampilkan panel instrumen Gliding Wing yang memberikan rasa luas menerusi pencahayaan dan rekaan wingspan yang kemas. Hasil rekaan ruang simetri ini meningkatkan rasa kebersamaan. Rekaan horizontal, ruangan terbuka serta penggunaan material dan warna yang harmoni memberikan suasana segar dan kualiti satu kelas lebih tinggi kepada keseluruhan kabin ini.
Bukan itu sahaja, stereng dengan bahagian bawah rata yang sporty, papan pemuka dibalut kulit lembut bersama jahitan berkembar, kemasan krom, piano black dan gentian karbon membuatkan ambien dalaman sedan ini kelihatan semakin premium. Tempat duduk jenis semi bucket yang diinspirasikan oleh teknologi Zero Gravity bersama kemasan berwarna kelabu memberi sokongan kepada bahagian lumbar, belakang tubuh dan bahu sekali gus mengurangkan rasa penat apabila menempuh perjalanan yang panjang.
Ruang kargo belakang seluas 482L (VDA) mampu memuatkan 4 beg golf dan hadir dengan bukaan lebih rendah serta luas untuk lebih mudah diakses. Istimewa untuk pasaran Malaysia, Nissan Almera Turbo Serba Baharu hadir dengan tempat duduk belakang boleh lipat 60:40 sebagai ciri standard, sekiranya anda memerlukan lebih ruang kargo atau ingin membawa barangan yang panjang.
Warna luaran untuk Nissan Almera Turbo Serba Baharu telah dipilih dengan teliti untuk memberikan tarikan yang luar biasa. Enam pilihan warna dinamik ditawarkan, 3 warna baharu – merah (Radiant Red), oren (Monarch Orange) dan kelabu (Dark Metal Grey), manakala warna popular seperti putih (Brilliant White), hitam (Diamond Black) dan perak (Tungsten Silver) juga ada disediakan. - DagangNews.com