KUALA LUMPUR 6 Julai - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) melancarkan Nissan Serena S-Hybrid serba baharu yang dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif yang dikenali sebagai 360 Safety Shield yang dapat meningkatkan kesedaran pemandu terhadap persekitaran pemanduan.
Model itu juga didatangkan dengan sistem keselamatan aktif merangkumi Ramalan Pintar Amaran Perlanggaran Hadapan, Brek Perlanggaran Hadapan Pintar, Amaran Pelepasan Lorong, Amaran Titik Buta dan Makluman Lalu Lintas Rentas Belakang bagi mengurangkan potensi kemalangan.
Ketua Pengarah Eksekutif, Daniel Ho berkata, ETCM mula memperkenalkan MPV keluarga pertama pada 1997 dan sejak itu empat generasi Serena sudah diperkenalkan kepada pengguna Malaysia.
“Nissan Serena S-Hybrid itu adalah antara model hybrid pertama yang dipasang secara tempatan (CKD) dan kekal sebagai satu-satunya MPV hybrid CKD hingga hari ini.
"Serena generasi baharu ini didatangkan dengan pelbagai ciri lebih premium pada harga mampu milik selain dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tambahan dan bentuk yang lebih ceria selaras dengan reka bentuk Nissan terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Daniel berkata, walaupuan menghadapi masalah kekurangan global yang berterusan terhadap bekalan cip pemprosesan dan isu logistik yang menghimpit pengeluaran, tetapi, Tan Chong Motor Assemblies telah melakukan yang terbaik untuk meminimumkan tempoh menunggu bagi semua model Nissan yang dipasang di negara ini.
"Setakat ini, kami telah menerima lebih daripada 2,000 tempahan sejak ia dibuka,” katanya.
Untuk pelanggan yang membuat tempahan awal, ETCM memberikan penghargaan dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan percuma sebanyak lima kali secara selang seli (termasuk alat ganti dan buruh) dan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Selain gaya yang premium dan teknologi keselamatan terkini, model baharu itu dilengkapi dengan Dwi Pintu Belakang, Pintu Gelangsar Dwi Kuasa Bebas Tangan di kedua-dua bahagian selain dilengkapi dengan 7 port USB.
Ruang dalaman yang besar dilengkapi 13 Konfigurasi Tempat Duduk dengan Kerusi Kapten di barisan kedua dengan tempat letak
tangan individu untuk keselesaan,
Bagi mengekalkan kualiti premium bahan yang digunakan adalah kombinasi kulit Nappa untuk setiap kerusi.
Model Nissan Serena S-Hybrid Highway Star 2.0L boleh didapati pada harga bermula RM149,888 manakala Premium Highway Star 2.0L pada harga RM162,888 tanpa insurans. - DagangNews.com