NMB, UMORIE hasil prototaip bateri berasaskan grafin untuk kenderaan EV | DagangNews Skip to main content

NMB, UMORIE hasil prototaip bateri berasaskan grafin untuk kenderaan EV

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - NanoMalaysia Berhad (NMB) dan UMORIE Graphene Technologies Sdn. Bhd. (UMORIE) berjaya menghasilkan prototaip bateri berasaskan grafin pertama di negara ini yang mempunyai jangka hayat lebih lama untuk kegunaan kenderaan elektrik (EV).

 

Bateri litium ion sel penuh dengan bahan grafin itu akan menjadi platform storan yang lebih cekap untuk sumber tenaga bersih yang boleh diperbaharui bagi mengubah industri EV. 

 

Projek berkenaan dimulakan di bawah Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan 2020 NMB dengan pelaburan sebanyak RM340,000 dan ia memiliki ketumpatan tenaga lebih tinggi berbanding bateri yang dijual secara komersial.

 

Bateri grafin memiliki kuasa yang jauh lebih tinggi dan bersaiz lebih kecil bagi membolehkan kenderaan bergerak lebih jauh.

 

Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, bateri yang dibangunkan itu membolehkan Malaysia merebut peluang berada dalam pasaran komponen EV dan pasaran bagi EV akan melonjak hingga AS$1.3 trilion (RM5.44 trilion) menjelang 2028 berbanding AS$246.7 bilion (RM1.03 trilion) pada tahun lalu.

 

"Kami bukan sahaja akan dapat mencipta rantaian bekalan tempatan sebagai pemangkin kepada industri EV tempatan, malah kami akan dapat menjadikan Malaysia sebagai pengeksport sistem storan tenaga berteknologi tinggi dan memasuki pasaran EV asing seperti Indonesia dan Thailand. 

 

NMB
Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad 

 

"Usaha ini adalah selaras dengan matlamat menjadi Negara Berteknologi Tinggi dan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12  baru-baru ini," katanya.

 

Sebaik sahaja dilancarkan di pasaran, bateri ini dijangka menyumbang sehingga RM124.13 juta kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta mewujudkan sehingga 1,146 peluang pekerjaan baharu untuk pekerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030.

 

umorie
 Ketua Pegawai Eksekutif UMORIE, Suria Affendi Amirrudin 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UMORIE, Suria Affendi Amirrudin berkata, bateri itu bukan sahaja boleh digunakan pada EV tetapi boleh dikecilkan untuk kegunaan peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba. 

 

"Usaha sama kami juga akan membantu memacu minda keusahawanan yang baharu melalui perkongsian berasaskan ekuiti," katanya.-Dagangnews.com