Nombor plat 'GOLD 1' jadi milik Agong dengan bidaan pecah rekod RM1.5 juta | DagangNews Skip to main content

Nombor plat 'GOLD 1' jadi milik Agong dengan bidaan pecah rekod RM1.5 juta

Yang di-Pertuan Agong (kiri) berkenan menerima simbolik nombor plat kenderaan Gold 1 daripada Anthony Loke di Istana Negara pada 20 Februari 2024. - Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR 20 Feb - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperoleh pemilikan nombor plat kenderaan keluaran khas 'GOLD 1' selepas membuat bidaan nilai tertinggi RM1.5 juta untuk nombor istimewa itu.

 

Bidaan itu dipercayai tertinggi dalam sejarah negara untuk plat pendaftaran.

 

Ini menandakan kali kedua Sultan Ibrahim memecahkan rekod nombor plat termahal.

 

Seri Paduka Baginda sebelum ini telah membayar RM1.2 juta untuk plat pendaftaran FF1.

 

Perkara itu diumumkan menerusi catatan di laman Instagram rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

 

"Plat khas GOLD 1 kini menjadi milik KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selepas meletakkan bidaan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM1.5 juta, yang akan disalurkan kepada kerajaan persekutuan," menurut catatan itu.

 

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Istana Negara.

 

 

Agong

 

 

Pada pertemuan itu, Loke mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

Nombor pendaftaran istimewa siri 'GOLD' itu telah diumumkan pada 30 Januari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50, lapor New Straits Times.

 

Inisiatif itu bagi membantu Kementerian Pengangkutan membiayai beberapa inisiatif seperti pengagihan topi keledar kepada penunggang motosikal dan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk pemandu teksi. - DagangNews.com