Nor Azman Zainal diumum sebagai GCEO Takaful Malaysia mulai 1 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Nor Azman Zainal diumum sebagai GCEO Takaful Malaysia mulai 1 Januari 2022


KUALA LUMPUR 30 Dis - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) telah melantik Nor Azman Zainal sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO) baharu berkuat kuasa 1 Januari 2022, menggantikan Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, yang akan bersara daripada jawatan itu menjelang akhir tahun selepas menerajui kumpulan itu sejak tahun 2007.

 

Pengerusinya, Datuk Mohammed Hussein berkata, Nor Azman tidak asing lagi dalam industri insurans dan takaful, beliau telah memegang pelbagai peranan dalam pengurusan kanan dan strategik dengan rekod prestasi cemerlang sepanjang 24 tahun dalam industri insurans hayat dan takaful keluarga sepanjang kerjayanya dengan institusi kewangan multinasional.

 

"Beliau akan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan kumpulan kerana kami mensasarkan untuk meningkatkan perniagaan takaful keluarga kami ke tahap baharu dan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam industri tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kepakaran Nor Azman dalam insurans dan takaful akan membantu Takaful Malaysia memasuki bab inovasi seterusnya dan mewujudkan visi bersama untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

 

"Kami yakin Nor Azman bersama-sama pasukan pengurusan akan menguasai pertumbuhan seterusnya dan mendorong Takaful Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan takaful keluarga kerana kami berada pada kedudukan yang baik untuk terus membina momentum kukuh kami dalam pasaran.

 

"Melangkah ke hadapan, kami optimis tentang masa depan Takaful Malaysia  dan meletakkan harapan supaya  perniagaan kami berjalan lancar untuk menjadi peneraju yang berkebolehan serta  memastikan rakyat Malaysia terus menikmati keselamatan kewangan dan mendapat manfaat daripada penyelesaian takaful komprehensif dan inovatif yang kami tawarkan," katanya. - DagangNews.com