Northeast Group terima kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Northeast Group terima kelulusan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, Northeast Group Bhd menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE untuk pengembangan perniagaan.

 

Pengarah urusan syarikat itu, Ng Chay Chin, berkata masa depan pembuatan adalah mengenai ketepatan.

 

Beliau berkata, memandangkan automasi menguasai industri, landskap untuk komponen kejuruteraan ketepatan sedang mengalami transformasi yang ketara didorong oleh lonjakan dalam aplikasi perindustrian. 

 

"Kami meramalkan permintaan akan meningkat dengan katara bagi komponen kejuruteraan ketepatan pada tahun-tahun akan datang.

 

"Pada masa ini, semua ruang lantai pengeluaran kilang sedia ada kami sudah digunakan sepenuhnya. 

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik untuk terus berkembang berdasarkan kelulusan yang diterima daripada Bursa Securities untuk penyenaraian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Chay Chin berkata, syarikat itu merancang mengembangkan ruang lantai pengeluarannya dengan membina kilang baharu dan meningkatkan kapasiti operasinya dengan membeli mesin kawalan berangka komputer (CNC) baharu.

 

Katanya, peluasan itu akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan pangkalan pelanggannya dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.

 

Kumpulan itu secara prinsipnya terlibat dalam pembuatan komponen kejuruteraan ketepatan dengan keupayaan kejuruteraan dan pemesinan yang memenuhi keperluan industri fotonik, elektrik dan elektronik, semikonduktor, telekomunikasi dan optoelektronik.

 

Ia juga menawarkan perkhidmatan nilai tambah yang terdiri daripada kemasan permukaan, fabrikasi kepingan logam dan sub-pemasangan mekanikal untuk melengkapkan tawaran perniagaannya.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu melibatkan terbitan awam sebanyak 168.989 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 51.8 juta saham sedia ada.

 

Daripada 220.79 juta saham ini, 37 juta saham akan disediakan kepada orang ramai Malaysia, dan 29.6 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan rakan perniagaan yang layak.

 

Sebanyak 61.689 juta saham lagi akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, manakala baki 92.5 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti.- DagangNews.com