Northport lancarkan program perantis bagi tingkatkan pembangunan bakat tenaga kerja tempatan | DagangNews Skip to main content

Northport lancarkan program perantis bagi tingkatkan pembangunan bakat tenaga kerja tempatan

Peserta Program Perantis Northport
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Northport (Malaysia) Bhd melancarkan Program Perantis Northport bagi meningkatkan pembangunan bakat dan pemerkasaan tenaga kerja tempatan dalam komunitinya.

 

Tujuan program tersebut adalah untuk menyediakan tenaga kerja tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk bekerja sebagai pemandu prime mover di Northport dan rakan kongsi strategiknya dalam industri pelabuhan dan logistik.

 

Northport berkata, program perantis selama 38 hari tersebut akan dijalankan dalam dua kumpulan yang terdiri daripada 15 orang, yang merangkumi arahan teori operasi prime mover, latihan lapangan, latihan sambil bekerja dan penilaian. 

 

"Setelah selesai, pelatih akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Kad Kemahiran (SPC) serta akan ditawarkan pekerjaan di Northport atau rakan strategiknya. 

 

"Rakan-rakan strategik ini terdiri daripada syarikat Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd, Baiduri Dimensi Sdn Bhd, IT Portlink Sdn Bhd, Nur Ajwa Consultant Sdn Bhd, Edvalue Logistics Sdn Bhd, Asia Manja Sdn Bhd dan Aim Deal Group Sdn Bhd," kata Northpoert dalam kenyataan hari ini. 

 

Program pembangunan bakat dan pemerkasaan tenaga kerja tempatan tersebut dilancarkan semasa Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier Peringkat Kebangsaan. 

 

Program latihan dan pelesenan yang diterajui oleh Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) turut disertai Northport dan Westports Malaysia Sdn Bhd itu telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. 

 

Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata inisiatif tersebut membantu memenuhi permintaan industri, di samping menangani ketidaksepadanan dalam pasaran kerja industri pelabuhan dan logistik, dengan rengarenga kebergantungan kepada tenaga buruh asing. 

 

Sementara itu, Program Perantis Northport telah berjaya menarik seramai 50 peserta yang terdiri daripada komuniti Pelabuhan Klang untuk menyertai program ini.

 

Kata syarikat itu, peserta program tertarik dengan kurikulum komprehensifnya yang merangkumi kedua-dua bentuk latihan teknikal dan kemahiran insaniah, memastikan setiap peserta dilengkapi dengan keperluan untuk memenuhi permintaan industri.

 

"Dalam konteks yang lebih luas, program ini bertujuan untuk membantu Kerajaan dalam mencapai objektif sosioekonominya sambil menyokong inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). 

 

"Ia juga memastikan bahawa setiap peserta memperoleh kemahiran khusus industri yang menjadikan mereka tenaga kerja 'industry-ready' dan meletakkan mereka pada laluan kerjaya sebagai pekerja operasi mahir," kata Northport.- DagangNews.com