Northport pecah rekod kendalian konvensional pada Mei | DagangNews Skip to main content

Northport pecah rekod kendalian konvensional pada Mei

Operasi pemunggahan bijirin dari kapal konvensional di Northport.

 

 


KUALA LUMPUR 16 Jun - Meskipun berdepan impak pandemik COVID-19, Northport (Malaysia) Bhd (Northport) berupaya mencatat jumlah kendalian bulanan tertinggi bagi segmen perniagaan kargo konvensional pada bulan lalu.

 

Northport, ahli Kumpulan MMC melakar kejayaan baharu ini setelah mengendalikan sejumlah 1,017,332 Freight Weight Tonnes (FWT) pada Mei 2021, melepasi rekod sebelumnya iaitu 968,356 FWT yang dicatatkan pada Ogos 2013.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof menyifatkan pencapaian itu adalah manifestasi kemampuan Northport dalam menangani cabaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan besar kepadapelbagai sektor ekonomi dan industri di peringkat global dan domestik.

 

Katanya, ia merupakan hasil daripada usaha-usaha transformasi syarikat dalam operasi kargo konvensional, yang mana mereka mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi di kedua-dua terminal iaitu Northport dan Southpoint.

 

"Ini juga termasuk termasuk mengoptimumkan ruang dan kemudahan penyimpanan, rasionalisasi peralatan jentera, rundingan semula kontrak bersama vendor, penambahbaikan proses melalui automasi sistem dan digitalisasi, pencarian data dan analisis serta menggalakkan transformasi melalui pengembangan bakat dan kecekapan dalam
kalangan kakitangan kami. 

 

"Langkah-langkah ini berjaya membantu kami menempuh segala rintangan terutama sekali permasalahan operasi, isu tenaga kerja serta cabaran-cabaran yang muncul akibat daripada pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Northport telah mengendalikan sejumlah 4.1 juta FWT kargo konvensional, pertumbuhan sebanyak 32% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. 

 

Penyumbang terbesar kepada kendalian yang tinggi ini adalah produk minyak sawit, bijirin serta besi dan keluli yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 80%, 61% dan 29% berbanding tahun sebelumnya.

 

Jumlah kendalian yang tinggi untuk kargo konvensional di Northport sebahagian besarnya disumbangkan oleh kejayaan pengendalian kapal pukal kering bersaiz besar di terminal. 

 

 

northport

 

 

Northport kini mampu menawarkan produktiviti kapal sehingga 10,000 Deadweight Tonnage (DWT) setiap hari bekerja mengikut cuaca (per weather working day) berikutan peningkatan proses dan produktiviti kerja. 

 

Hasilnya, sebanyak 12 kapal berkapasiti lebih dari 80,000 DWT telah berlabuh di Northport sejak Julai tahun lalu.

 

Menurut beliau, syarikat merancang untuk memusatkan operasi kontena dalam satu terminal dan memberi ruang untuk perniagaan kargo konvensional berkembang di terminal yang lain. 

 

"Ini akan meningkatkan lagi produktiviti pengendalian kargo kami dan mewujudkan ruang untuk pembinaan kemudahan baharu yang membolehkan kami menghasilkan produktiviti yang lebih baik," tambahnya.

 

Sementara itu, operasi Hab Logistik Biomass di sebuah lagi terminal Northport, iaitu Southpoint telah mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 169,281 tan sejak Januari tahun ini, meningkat 91% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

 

Kawasan seluas 300,200 kaki persegi, merangkumi kawasan simpanan terbuka dan gudang tertutup, kini disewa oleh pemain industri biomass di Southpoint. 

 

Southpoint juga dijangka menyaksikan peningkatan kendalian kargo cair, sejajar peningkatan kapasiti tangki baru yang kini dalam proses pembinaan. 

 

Azman berkata, masih ada banyak lagi peluang dan potensi di terminal yang telah mencecah usia 120 tahun ini.

 

Sebelum 1973, iaitu sebelum konsep intermodalisme dan kontenarisasi diperkenalkan kepada industri perkapalan dan logistik Malaysia dengan ketibaan kapal kontena pertama, MV Tokyo Bay di Pelabuhan Klang, aktiviti muatan dan pemunggahan kargo di pelabuhan amat bergantung kepada tenaga buruh. 

 

Beberapa sistem pengendalian kargo asas telah digunapakai untuk menjadikan prosesnya lebih efisien. 

 

Bagaimanapun, katanya, pengendalian kargo secara 'tradisional' ini terdedah kepada risiko tinggi kemalangan, kehilangan dan kecurian.

 

Pada hari ini, produktiviti dan kecekapan pengendalian kargo konvensional di Northport telah meningkat secara ketara dengan penggunaan jentera pelabuhan, sistem maklumat dan teknologi yang canggih serta peningkatan kemahiran, kecekapan dan proses kerja oleh kakitangan.

 

“Kami sangat berbangga dengan kakitangan serta penyedia perkhidmatan kami, terutama di bahagian operasi kargo konvensional yang telah menyahut cabaran dan membuktikan bahawa segmen perniagaan ini masih lagi relevan dan menguntungkan.

 

"Dalam masa sama, kami telah menyusun beberapa perancangan untuk perniagaan kargo konvensional dan kami sangat teruja untuk melihat segmen perniagaan ini berkembang dengan lebih pesat," katanya. - DagangNews.com