Novartis anjur kempen kesihatan suntik kesedaran penyakit tidak berjangkit | DagangNews Skip to main content

Novartis anjur kempen kesihatan suntik kesedaran penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR 21 Okt – Novartis Malaysia menganjurkan kempen kemasyarakatan untuk menangani isu kelaziman Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dengan menyasarkan golongan yang kurang mendapat perhatian, agar mereka mengambil tindakan dan mengamalkan gaya hidup sihat. 

 

Pasukan yang terlibat dalam program tersebut mengunjungi beberapa lokasi penting di seluruh Malaysia untuk mengendalikan saringan kesihatan percuma dan menganjurkan ceramah yang mengupas topik kesihatan umum dan pemakanan sihat. 

 

Program tiga bulan ini dijayakan dengan kerjasama ProtectHealth dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. 

 

Presiden Negara Novartis Malaysia, Elwakil Mohamed berkata, data yang diperoleh daripada Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan anjuran Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa dalam kalangan individu yang menjalankan pemeriksaan, 47% daripada mereka disahkan menghidap satu atau lebih NCD, manakala 46% menghadapi faktor risiko NCD. 

 

Katanya, Novartis menganjurkan kempen itu bukan sahaja untuk mentafsirkan semula bidang perubatan untuk menambah baik dan melanjutkan hayat insan, tetapi juga mencetus perubahan positif dalam khidmat penjagaan inovatif.  

 

"Kita sedia maklum bahawa saringan kesihatan adalah satu keperluan, tetapi usaha meningkatkan kesedaran tidak kurang pentingnya. 

 

"Ceramah untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kesihatan perlu diadakan untuk mendidik dan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, " katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Program saringan pertama dalam kempen itu telah diadakan di PPR Sri Stulang, Johor Bharu. Daripada 294 orang yang mendaftar untuk program PeKa B40, 35% layak untuk menjalani saringan. 

 

Pasukan itu kan mengunjungi kawasan Selatan, Tengah dan Utara Malaysia dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk menyantuni golongan yang kurang mendapat perhatian. 

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit, Dr. Feisul Mustapha yang memainkan peranan aktif menyokong Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia berkata, hasil tinjauan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan juga mendapati individu yang berumur di bawah 40 tahun juga disahkan menghadapi risiko atau sudah mengalami satu atau lebih penyakit tidak berjangkit. 

 

"Kempen menyeluruh seperti ini yang menggalakkan saringan dan berusaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan amat penting untuk membantu rakyat Malaysia mengesan tanda-tanda awal penyakit dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya agar mereka boleh menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com