Novartis Malaysia dan IJN bekerjasama tangani Penyakit Kardiovaskular Aterosklerotik di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Novartis Malaysia dan IJN bekerjasama tangani Penyakit Kardiovaskular Aterosklerotik di Malaysia

Kerjasama ini bertujuan membantu pesakit menambah baik pengurusan penyakit menerusi penjagaan lebih baik dan terapi yang membawa perubahan bermakna.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd (Novartis Malaysia) bergading bahu dengan Institut Jantung Negara (IJN) dalam kerjasama saintifk pertama untuk membantu pesakit menambah baik pengurusan penyakit ASCVD menerusi penjagaan lebih baik dan terapi yang membawa perubahan bermakna.

 

Penyakit ASCVD seperti sakit jantung koronari (CHD), strok, dan penyakit arteri periferi (PAD) disebabkan oleh tahap kolesterol tinggi yang mengakibatkan pengerasan dan penyempitan arteri.

 

Dalam kerjasama paling komprehensif yang pertama sepertinya ini, pakatan antara Novartis Malaysia dan IJN meliputi tiga bidang tumpuan utama:

  • Kerjasama penyelidikan untuk menghasilkan data mengenai ASCVD di Malaysia dan mengukur hasil rawatan bagi penghidap ASCVD.
  • Penubuhan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) berbilang disiplin terkini yang bertujuan mengoptimumkan rawatan ASCVD.
  • Memartabatkan IJN sebagai pusat latihan diiktiraf antarabangsa dalam rawatan ASCVD.

 

Presiden Negara bagi Novartis Malaysia, Mohamed El-Wakil berkata, Novartis sedar bahawa ASCVD ialah isu kesihatan awam global yang tidak boleh diabaikan dan merupakan pembunuh nombor satu dunia.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa lebih 15 juta orang meninggal dunia akibat ASCVD setiap tahun, meliputi 85% daripada kematian kardiovaskular.

 

Di Malaysia, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, melaporkan bahawa penyakit tidak berjangkit (NCD) membentuk 71% daripada kematian awal di Malaysia. Dalam pada itu, ASCVD menyebabkan 54% daripada semua kematian NCD.

 

“Sejajar dengan matlamat kami untuk mempelopori bidang perubatan untuk menambah baik dan melanjutkan hayat insan, kami belajar daripada perjalanan yang dilalui pesakit dan menyusun penyelesaian untuk merapatkan jurang dan memenuhi keperluan dalam penjagaan kardiovaskluar.

 

“Kerjasama perintis antara Novartis Malaysia dan IJN ini amat penting kerana menjadi faktor yang bakal mengubah sama sekali paradigma rawatan ASCVD.

 

“Pakatan ini menggandingkan kepakaran dan piawaian penjagaan tertinggi oleh institusi pakar kardiovaskular terulung negara, IJN, dengan pengalaman menyeluruh Novartis dalam bidang kardiovaskular,” katanya dalam satu kenyataan.


 

novartis
Dari kiri: Dr. Mayuresh Fegade, Ketua Pegawai Saintifik Novartis Malaysia; Mohamed Elwakil; Datuk Dr. Aizai Azan dan Dr. Hasri Samion, Ketua Pegawai Klinikal IJN merasmikan perkongsian penyelidikan saintifik antara IJN dan Novartis Malaysia.

 

 

Mohamed berkata, kerjasama saintifik ini juga menandakan mercu jaya penting dalam pakatan jangka panjang antara Novartis Malaysia dan IJN.

 

“Kerjasama terdahulu dengan IJN termasuk Daftar Kegagalan Jantung Dekompensasi Akut-IJN (ADHF) yang diterbitkan di peringkat antarabangsa dan Klinik Kegagalan Jantung IJN,” ujarnya.

 

Sementara itu, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, berkata, usaha sama ini sesungguhnya dijalin tepat pada masanya kerana kes ASCVD yang semakin meningkat.

 

Di samping itu, Kementerian Kesihatan baru sahaja melancarkan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025, dengan matlamat mengurangkan kematian NCD daripada 20% kepada 15% menjelang 2025i.

 

“Kami bersedia untuk berganding bahu dengan Novartis Malaysia untuk mencapai matlamat kami, iaitu “What Good Looks Like” (Mendapatkan Hasil Rawatan Yang Baik) dalam penjagaan ASCVD,” kata beliau.

 

Setakat ini, kerjasama tersebut sudah mencapai mercu jaya pertama dengan pelancaran Klinik Pengurangan Risiko Jantung (CRRC).

 

CRRC yang dibuka setiap Isnin di IJN akan menyediakan khidmat pengurusan risiko lipid dan jantung berkesan dan agresif bagi pesakit yang menghidap penyakit jantung dan gangguan lipid utama untuk mengoptimumkan rawatan ASCVD.

 

Perkhidmatan ini berpandukan protokol pengurusan sistemik dengan senarai semak dan kriteria yang ditetapkan terlebih dahulu, serta dipimpin oleh pasukan terlatih daripada berbilang bidang (pakar klinikal, jururawat, pakar diet, pakar fisioterapi dan ahli farmasi). – DagangNews.com