Novartis Malaysia lancarkan pejabat hybrid sebagai sebahagian usaha luaskan operasi di negara ini | DagangNews Skip to main content

Novartis Malaysia lancarkan pejabat hybrid sebagai sebahagian usaha luaskan operasi di negara ini

Dari kiri, Patrik Grande, Kevin Zou, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Duta Andrea Reichlin dan Akhil Kapoor semasa perasmian Pejabat Hibrid Novartis Malaysia, baru-baru ini.
Oleh Mohamad Iman

PETALING JAYA 12 Julai – Novartis Malaysia, sebuah peneraju syarikat farmaseutikal terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran dengan pelancaran pejabat baharu serba canggih dengan kelengkapan terkini di Plaza Imazium, Damansara Uptown.

 

Selain daripada pertukaran alamat, pejabat baharu ini adalah sebahagian daripada rancangan pertumbuhan strategik dan komitmen untuk memastikan perniagaan syarikat sedia untuk menempuh masa depan dengan menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

 

Pejabat dua tingkat ini, mencorakkan semula sepenuhnya pengalaman kerja masa kini untuk kakitangannya, dengan menekankan ciri-ciri fleksibel selain mengutamakan hubungan dan kerjasama sesama insan.

 

Novartis Malaysia, yang ditubuhkan pada 1971, telah berkembang pesat daripada sebuah pejabat kecil menjadi peserta utama dalam industri penjagaan kesihatan, dengan tiga bahagian utama yang terdiri daripada Ubat-ubatan (Farmasi dan Onkologi), Sandoz (Bioserupa) dan Pusat Perkhidmatan Global Novartis Kuala Lumpur (NGSC KL) – satu daripada lima pusat perkongsian perkhidmatan global di dunia.  

 

NGSC KL, yang dilancarkan pada 2016 telah berkembang maju dalam tempoh hanya enam tahun daripada berkhidmat untuk 5 negara kepada 25 pasaran, termasuk ibu pejabat Novartis di Basel, Switzerland menerusi penyelesaian kerja peringkat tinggi berasaskan data dan digital.

 

Ketua Pasaran Sedang Membangun Novartis, Kevin Zou berkata, untuk membolehkan Novartis mencapai matlamat dan wawasan untuk mencorakkan semula dunia ubat-ubatan, pihaknya perlu mewujudkan persekitaran kerja yang sesuai bagi masa depan, seiring dengan keperluan untuk bertindak pantas dalam perniagaan.

 

Katanya, sokongan dan infrastruktur Malaysia yang mesra perniagaan merupakan komponen penting dalam proses perkembangan kami di Malaysia, dengan lebih daripada 800 kakitangan yang berkhidmat kepada 32 juta pelanggan di seluruh negara.

 

“Sepanjang tempoh lima dekad Novartis bertapak di Malaysia, daya tarikan Kuala Lumpur sebagai hab serantau dan global terus meningkat, dengan insentif menarik daripada kerajaan, sumber tenaga kerja berbakat, infrastrutkur mantap dan pasaran penjagaan kesihatan yang kian berkembang,” katanya.

 

 

novartis
Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Andrea Reichlin bersama pengurusan kanan Novartis semasa perasmian Pejabat Hibrid Novartis Malaysia, baru-baru ini.

 

 

Pada 2021, Novartis Malaysia menyumbang lebih RM1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, dengan hampir satu perempat daripadanya diperoleh daripada aktiviti perniagaan; mengambil 80% kakitangan Malaysia dalam pekerjaan bernilai tinggi; melabur lebih RM4 juta dalam penyelidikan dan pembangunan, termasuk 38 ujian klinikal untuk program ujian klinikal dan program menghasilkan bukti dunia sebenar dalam beberapa bidang terapeutik; menyokong perniagaan tempatan dan juga menyumbang lebih RM3 juta untuk melindungi pekerja barisan hadapan dan masyarakat berisiko tinggi daripada COVID-19.

 

Dalam bidang akses pesakit, Novartis Malaysia telah menyokong komuniti Chronic Myeloid Leukemia (CML) melalui Program Bantuan Pesakit Malaysia (MYPAP), model sumbangan perkongsian bersama, di mana kos rawatan tahunan ditanggung sebahagiannya oleh Kementerian Kesihatan dan Novartis Malaysia masing-masing.

 

Menurut Zou, Novartis Malaysia berhasrat untuk terus mengukuhkan keterlibatannya bersama kerajaan dan menyokong usaha mengukuhkan system penjagaan kesihatan di Malaysia menerusi penggunaan pintar inovasi digital dan teknologi yang menggunakan Bukti Dunia Sebenar (RWE) sebagai panduan kepada penyelesaian yang boleh menambah baik proses pemulihan pesakit.

 

“Sebagai sebahagian daripada usaha mencapai wawasan dan matlamat syarikat, kami berhasrat menjadi rakan khidmat penjagaan kesihatan plilihan utama pelanggan kami. Satu keutamaan Novartis Malaysia ialah memberi tumpuan berterusan meneroka Kerjasama Awam Swasta (PPP) dalam bidang ujian klinikal, perkhidmatan perkongsian global dan usaha mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan,” tambah beliau.

 

Sebagai sokongan kepada rancangan pengembangan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, dan Duta Switzerland ke Malaysia, Andrea Reichlin telah mengunjungi pejabat baharu Novartis Malaysia.

 

Yang turut hadir ialah Ketua CPO dan Presiden Negara Novartis Malaysia/ Brunei, Patrik Grande; dan Ketua Pusat Perkhidmatan Global Novartis, Kuala Lumpur, Akhil Kapoor.


 

novartis
                                                 Dato' Sri Mustapa Mohamed

 

 

Dalam ucaptama beliau, Dato’ Sri Mustapa berkata, Novartis telah memberikan sumbangan besar kepada dunia dan juga Malaysia.

 

“Saya juga telah dimaklumkan tentang apa yang telah dilakukan oleh Novartis di seluruh dunia dan rancangannya pada masa depan. Masa depan ialah bahagian paling penting dalam rancangan kerana segalanya berkisar pada ilmu, bakat dan inovasi,” katanya.

 

“Agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Kesihatan (KKM), InvestKL, Mydigital dan saya sendiri berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Novartis bagi mengukuhkan Perkongsian Awam Swasta dan membantu kami menempuh cabaran semasa yang dihadapi untuk menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan lebih baik untuk seluruh rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin di Malaysia,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Novartis Malaysia atas pelancaran syarikat baharu.

 

“Lebih 50 tahun lalu, Novartis menjejakkan kaki di Malaysia. Hari ini, Pusat Perkhidmatan Global Novartis Kuala Lumpur adalah Ibu Pejabat Operasinya, yang berkhidmat di seluruh Rantau Asia Pasifik. Evolusi ini bercakap tentang keyakinan syarikat terhadap Malaysia, serta keupayaan negara kita dalam meningkat untuk memenuhi jangkaan syarikat sains hayat terkemuka untuk bukan sahaja bersedia masa depan tetapi untuk menerajui dunia yang semakin hibrid hari ini.

 

“MIDA mengucapkan selamat maju jaya kepada Novartis Malaysia dan berharap syarikat itu memanfaatkan lagi ekosistem perniagaan Malaysia untuk berkembang dan memberi perkhidmatan kepada pelanggannya di rantau ini dan seterusnya untuk tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, Novartis telah menjadi rakan kerjasama yang amat dihargai selama ini, memainkan peranan penting dan berganding bahu dengan MDEC dalam usaha melaksanakan transformasi dan meningkatkan keupayaan dan kemampuan digital negara.

 

“Peluasan operasi mereka mencerminkan keyakinan berterusan pelabur dalam ekosistem dan ekonomi negara kita dan kami berharap untuk terus menambah nilai dan membuka peluang untuk semua, terutamanya dalam bidang perkhidmatan digital dan kesihatan.”

 

 

novartis

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli berkata, pejabat baharu Novartis Malaysia mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi dan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai lokasi pilihan bagi syarikat-syarikat global terkemuka.

 

Pejabat baharu ini bukan sahaja menerajui transformasi kerja, tetapi juga menandakan satu mercu jaya pertumbuhan penting, yang disokong oleh kakitangan berbakat yang terpelbagai, lokasi strategik, ekonomi berpandukan IR4.0 dan infrastruktur kukuh di Kuala Lumpur.

 

“Kami bertekad untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan inovatif dan berteknologi tinggi ke Malaysia dan akan terus menyong pertumbuhan Novartis di rantau ini,” katanya.

 

Pejabat Untuk Mereka Yang ‘Inspired, Curious & Unbossed’

Pejabat baharu Novartis Malaysia mencerminkan cara bekerja atau Ways of Working (WoW) baharu sebagai kerja berasaskan pasukan, diterajui rakan sekerja, dan diperkasakan Pengurus.

 

Oleh yang demikian, sebuah pejabat yang menekankan fleksibiliti pada asasnya tetapi mengutamakan hubungan dan kerjasama sesama insan akan memastikan rakan-rakan sekerja melaksanakan kerja yang bermakna dan berimpak tinggi sambil menggembleng kekuatan lebih 800 insan berbakat yang bekerja di sini.

 

Tambahan lagi, pejabat ini telah direka suai dengan teliti untuk menerapkan faktor dan unsur yang meningkatkan produktiviti.

 

Konsep Tempat Kerja Berasaskan Aktiviti diguna pakai untuk membolehkan rakan-rakan sekerja memanfaatkan pelbagai ruang dan sudut bagi memenuhi keperluan mesyuarat, kerjasama atau kesejahteran mereka.

 

Syarikat juga mengutamakan penggunaan data dan digital bagi menggalakkan rakan-rakan sekerja mengguna pakai teknologi digital dan sains data dengan cara baharu untuk menghasilkan keputusan lebih baik bagi pesakit.

 

Pejabat ini juga menerapkan unsur-unsur kelestarian dengan menggunakan bahan mesra alam dan kitar semula bagi perabot dan monitor komputer.

 

Hasil usaha yang dilaksanakan, pejabat ini telah diiktiraf sebagai satu daripada 20 pejabat yang menerima pensijilan LEED-Gold dan yang pertama untuk menerima sijil WELL-Silver (pejabat) di negara ini.


 

novartis

 


Pada awal tahun ini, Novartis Malaysia menambah satu lagi kejayaan apabila memenangi anugerah Majikan Terbaik 2022, selepas memenanginya secara berturut-turut pada 2021 dan 2020. Novartis Malaysia juga menjadi lokasi salah satu daripada 5 Pusat Servis Global Novartis di seluruh dunia, yang telah disahkan sebagai Majikan Utama buat 3 tahun berturut-turut.

 

Anugerah ini mengiktiraf kecemerlangan dalam persekitaran kerja dan menekankan budaya Inspired, Curious & Unbossed.

 

Sebagai sebuah syarikat ubat-ubatan terkemuka yang berpandukan platform terapi lanjutan dan sains data, Novartis Malaysia membuktikan keupayaannya dengan memenangi anugerah Teknologi Perubatan – Farmaseutikal menerusi alat peramal AXON di Anugerah Kecemerlangan Teknologi Malaysia 2022 baru-baru ini. DagangNews.com