NTIS - Airasia teroka khidmat penghantaran melalui dron di kawasan bandar | DagangNews Skip to main content

NTIS - Airasia teroka khidmat penghantaran melalui dron di kawasan bandar

Tony Fernandes (dua dari kiri) menyampaikan pakej yang dihantar melalui dron kepada Khairy Jamaluddin, disaksikan Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Setiausaha MOSTI; Dzuleira Abu Bakar, CEO MaGIC dan Kapten Chester Voo Chee Soon, CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

 

 

CYBERJAYA 6 Mac - Para pembeli di Malaysia tidak lama lagi boleh menikmati pengalaman beli-belah baharu menerusi Teleport, untuk melancarkan Sandbox Penghantaran Melalui Dron di Kawasan Bandar dan menguji daya maju jangka panjang perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar.

 

Teleport adalah cabang logistik airasia Digital menjalin kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), selaku Sekretariat Utama Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) bagi menjayakan projek tersebut.

 

Projek perintis untuk perkhidmatan penghantaran pesanan dari platform e-dagang airasia termasuk airasia shop menggunakan dron automatik akan dilaksanakan melalui pendekatan berperingkat selama enam bulan di tapak ujian NTIS ketiga di Cyberjaya. Perkhidmatan ini masih dalam peringkat ujian oleh dua pengendali dron tempatan VStream Revolution Sdn Bhd dan Meraque Services Sdn Bhd.

 

Fasa pertama projek di Cyberjaya ini bertujuan untuk menilai keupayaan, pengalaman, proses kelulusan, kesediaan dron dan pengembangan perkhidmatan oleh pengendali dron. Perkhidmatan ini dijangka akan dilancarkan setelah fasa percubaan berjaya dan mungkin diperluaskan di luar persekitaran sandbox.

 

Sebagai pusat penyelarasan dan pemudahcara penyelesaian nasional, NTIS menyediakan langkah kritikal dengan memberi kelonggaran kepada proses terpilih atau keseluruhan dan/atau keperluan kawal selia untuk mempercepat pembangunan penyelesaian inovatif daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan kepada peringkat yang sedia untuk dikomersialkan.

 

Dalam merealisasikan projek ini, NTIS telah bekerjasama rapat dengan satu-satunya pengawal selia teknikal di Malaysia iaitu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan aspek keselamatan bagi perkhidmatan kenderaan udara tanpa pemandu di kawasan bandar memenuhi keperluan dan peraturan seperti yang ditetapkan oleh CAAM. Ini juga untuk memastikan keselamatan awam kekal menjadi keutamaan tertinggi selain memudahkan kemajuan teknologi.

 

Teleport
Dzuleira Abu Bakar (kiri, depan) dan Pete Chareonwongsak, CEO Teleport bertukar MoU disaksikan Khairy Jamaluddin (tengah); Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Tony Fernandes di Cyberjaya, hari ini.

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata: “Malaysia bersedia untuk menjadi peneraju utama dalam industri teknologi dron (DroneTech), yang dijangka akan menjana AS$127 bilion menjelang 2025.

 

"Saiz pasaran global khusus untuk penghantaran pesanan melalui drone berjumlah AS$642.4 juta pada tahun 2019, dan diunjurkan untuk mencapai AS$7.388 bilion pada tahun 2027. Perkhidmatan penghantaran melalui dron juga dapat diperluas dan ditingkatkan dalam pelbagai sektor selain e-dagang, seperti penghantaran bekalan penting atau perubatan ke kawasan luar bandar, terpencil, atau yang terjejas oleh bencana alam,'' ujarnya.

 

NTIS berbesar hati untuk menjemput syarikat permulaan dalam teknologi dron untuk mengembangkan perkhidmatan mereka dengan menghubungkan mereka dengan pengawal selia, syarikat telekomunikasi dan pemain ekosistem lain.

 

"Peranan kami adalah untuk terus membangunkan ekosistem teknologi dron, dan memacu industri ini dengan bantuan kerajaan. Pandemik ini telah membuka peluang untuk mempercepat perubahan struktur ekonomi, dari segi digitalisasi, automasi serta robotik, dan kita perlu bersedia menghadapi perubahan ini untuk membawa Malaysia ke arah ekonomi berasaskan inovasi.

 

"Kami percaya kerjasama strategik antara airasia dan MaGIC akan memacu sektor ini dan menandakan permulaan revolusi perkhidmatan penghantaran dron di kawasan bandar,” ujarnya.

 

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group berkata: “airasia sentiasa berinovasi sejak kami ditubuhkan 20 tahun yang lalu. Kini, kami telah menembusi industri e-dagang dengan airasia super app yang menawarkan makanan, barangan runcit, penghantaran produk bebas cukai oleh cabang logistik kami, Teleport dan banyak lagi.

 

"Ini adalah usaha jangka masa panjang kami, justeru kami teruja untuk bekerjasama dengan MaGIC bagi meneroka perkhidmatan penghantaran melalui dron di kawasan bandar. Ini adalah satu penyelesaian logistik inovatif yang akhirnya akan meningkatkan kecekapan dan kecemerlangan operasi serta menjadikan perkhidmatan penghantaran di kawasan bandar lebih pantas," katanya.

 

Selain itu ujar beliau, perkhidmatan penghantaran melalui dron menjadikan kami lebih berdaya saing untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor e-dagang dan lebih tangkas untuk menghadapi landskap ekonomi yang berubah-ubah.

 

“Apa yang paling penting, inovasi ini akan membolehkan kami mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan berteknologi tinggi untuk rakyat Malaysia. Kemampuan untuk mengubah peranan adalah sebahagian daripada budaya kami dan walaupun ada yang kehilangan pekerjaan dalam sektor penerbangan, kami dapat menawarkan peluang kedua kepada mereka untuk membina kerjaya baharu dengan kami melalui sektor e-dagang.

 

"Sebagai peneraju inovasi, kami bersedia untuk menghadapi cabaran inovatif baharu dan gelombang Revolusi Industri 4.0 untuk kelebihan kami. Kami hanya melihat ke hadapan dan tidak sabar untuk menghantar pesanan anda melalui dron airasia di masa akan datang,” kata Tony.

 

Teleport diasaskan pada tahun 2018, merupakan cabang di bawah airasia Digital, bertujuan membina impian kargo dan logistik AirAsia. Teleport dalam misi membolehkan sesiapa sahaja - daripada pedagang tunggal ke syarikat besar untuk memindahkan barang serta e-dagang di Asia Tenggara dan di mana-mana sahaja. Seperti magik, ia sangat memudahkan. - DagangNews.com