KUALA LUMPUR 22 Mac - NTPM Holdings Bhd kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.3 juta pada suku ketiga berakhir 31 Januari 2024 (3QFY24) berbanding kerugian bersih sebanyak RM7.3 juta pada tahun sebelumnya dipacu peningkatan hasil jualan dalam segmen penjagaan diri.
Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM241 juta pada suku berkenaan berbanding RM216 juta pada 3QFY23.
Katanya, hasil daripada segmen produk kertas tisu pada 3QFY24 adalah sebanyak RM165.6 juta, peningkatan 7.3% berbanding RM154.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
"Hasil daripada segmen produk penjagaan diri bagi suku berkenaan meningkat 22.8% kepada RM75.5 juta berbanding RM61.5 juta yang dicatatkan pada 3QFY23.
"Peningkatan hasil dalam segmen produk penjagaan diri itu adalah disebabkan oleh pertambahan dalam jualan produk lampin bayi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2024 (9MFY24), kumpulan itu kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.4 juta berbanding kerugian bersih RM9.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong hasil yang lebih tinggi sebanyak RM689.5 juta daripada RM653.2 juta pada tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai prospek kumpulan, NTPM berkata, persekitaran operasi perniagaan di Malaysia akan kekal mencabar manakala tekanan inflasi serta kadar tukaran mata wang asing yang tidak menentu juga dilihat menjadi penghalang kepada trakejtori pertumbuhan ekonomi.
Katanya, kumpulan itu mencatatkan keputusan positif hasil daripada pelarasannya dalam strategi pemasaran pada 3QFY24.
"Pelarasan itu merangkumi penurunan harga produk bagi memenuhi trend pasaran selain penstabilan harga bahan mentah merangkumi pulpa serta kertas buangan sekali gus membantu memberikan asas pelanggan yang lebih luas selain meningkatkan minat mereka.
"Kadar tukaran dolar Amerika Syarikat yang menggalakkan juga menyumbang ke arah prestasi keuntungan yang lebih baik pada suku tersebut," katanya.- DagangNews.com