NUBE gesa MoF dan BNM campur tangan penutupan cawangan bank | DagangNews Skip to main content

NUBE gesa MoF dan BNM campur tangan penutupan cawangan bank

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Mei -  Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk campur tangan bagi memastikan tiada pekerja yang akan menjadi ‘mangsa’ sekiranya institusi perbankan menutup cawangan atau perkhidmatan runcit mereka. 

 

Ini susulan kesatuan itu bimbang dengan laporan mengatakan hampir 600 cawangan bank dijangka ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut syarikat perunding antarabangsa, Ronald Berger. 

 

Menurut Setiausaha Agungnya, J. Solomon, BNM dan Kementerian Kewangan mempunyai tanggungjawab bagi memastikan bank-bank menyediakan latihan dalam meningkatkan kemahiran dan keupayaan pekerja secara tersusun supaya pekerjaan mereka terjamin dalam hala tuju baharu bank.

 

“Laporan itu menzahirkan kebimbangan NUBE mengenai nasib ribuan pekerja yang berisiko kehilangan pekerjaan kerana dipinggirkan oleh bank-bank tertentu dalam keghairahan mengaut keuntungan lumayan semata-mata. 

 

J. Solomon
J. Solomon

 

“NUBE berulang kali menegaskan ia tidak menolak perbankan digital, dalam talian atau kecenderungan kerajaan menggalakkan perbankan fintech, namun kerajaan dan bank harus memastikan pekerja tidak menjadi mangsa dalam peralihan itu. 

 

“Penutupan ketara perkhidmatan perbankan runcit atau penutupan terus cawangan bank sudah pun berlaku di Malaysia, dan dibiarkan begitu sahaja oleh BNM dan Kementerian Kewangan, tanpa memastikan kebajikan dan masa depan pekerja yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dakwanya lagi, NUBE menerima aduan daripada bank multinasional dan tempatan tertentu yang menindas pekerja dalam skala gaji rendah. 

 

Dalam masa sama, terdapat juga isu jawatan pekerja dimansuhkan atas alasan bank mahu memberi tumpuan kepada perbankan digital dan melakukan penyumber luaran untuk tugas mereka, tambah Solomon.

 

“Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan dan BNM untuk segera campur tangan bagi membela ribuan pekerja bank, sebilangan besarnya golongan B40 dan M40, yang khuatir mereka kehilangan mata pencarian jika bank menutup cawangan dan khidmat perbankan runcit. 

 

“MOF dan BNM mesti mewajibkan bank menyediakan program latihan semula untuk meningkatkan kemahiran pekerja agar mereka terus relevan kepada keperluan bank dan mempunyai masa depan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com