NUBE kecewa Kementerian Sumber Manusia enggan benarkan perjalanan bantu ahli terjejas masa Lockdown   | DagangNews Skip to main content

NUBE kecewa Kementerian Sumber Manusia enggan benarkan perjalanan bantu ahli terjejas masa Lockdown  

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Kebangsaan (NUBE) membidas Kementerian Sumber Manusia yang didakwanya tidak memberi kebenaran perjalanan bagi wakil kesatuan menguruskan nasib pekerja dari 24 bank termasuk yang diberhentikan kerja semasa PKP penuh sekarang.

 

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, NUBE tidak meminta sesuatu yang keterlaluan, sebaliknya, hanya kebenaran perjalanan ke Ibu Pejabat NUBE di Kuala Lumpur yang terhadap kepada 60% pekerja bagi menjaga ahli-ahli dari kumpulan B40 dan M40 daripada terjejas teruk disebabkan pandemik dan juga pelaksanaan VSS dan MSS oleh HSBC.

 

Untuk rekod ujar beliau, banyak negara yang terikat dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) membenarkan kesatuan mereka untuk terus berfungsi semasa 'lockdown' yang dikuatkuasakan. Langkah ini boleh membantu mengurangkan beban Kerajaan dalam menangani impak COVID-19.

 

Katanya, sebagai sebuah entiti penuh bertanggungjawab yang mewakili para pekerja, NUBE sentiasa menyokong usaha yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu.

 

“Meskipun kami telah menulis kepada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, tetapi tidak mendapat kelulusan yang sewajarnya.

 

“Selepas siri komunikasi e-mel, Kementerian Sumber Manusia meminta NUBE menyediakan justifikasi bagi permohonan kebenaran perjalanan dan selepas kami memberikan justifikasi, mereka hanya memberikan respons pada 8 Jun 2021, iaitu semalam.

 

“Dalam respons itu, Jabatan tersebut memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan apa-apa surat kebenaran perjalanan, sebaliknya meminta NUBE mendapatkan "surat kebenaran secara one off bagi tempoh yang terhad sahaja daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)” bagi tujuan pembayaran gaji.

 

“Kesatuan sekerja termasuk NUBE tidak dikawal selia oleh PDRM, tetapi terletak di bawah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Kementerian Sumber Manusia.

 

“Di peringkat awal PKP 3.0, apabila kami ada merujuk PDRM, dan mereka menasihatkan kami supaya memperoleh kebenaran perjalanan daripada Kementerian Sumber Manusia memandangkan kami tertakluk kepada Kementerian tersebut.

 

“Tetapi Kementerian Sumber Manusia meminta kami menutup pejabat, sementara mereka pada masa yang sama bersekongkol dengan HSBC Bank Malaysia (HSBC) dengan memberi kelulusan untuk pelaksanaan VSS dan MSS,” kata Solomon dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain kecewa dengan SOP yang agak tidak konsisten dalam mengeluarkan surat kebenaran perjalanan, NUBE juga terkilan dan kecewa dengan sikap Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Kementerian Sumber Manusia yang tidak prihatin sama sekali dengan kebajikan ahli-ahli kesatuan dari golongan B40 dan M40.

 

“Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa NUBE perlu menyediakan perkhidmatan efektif kepada ahli-ahli kami yang bertugas ketika perkhidmatan perbankan merupakan antara sektor perlu di bawah tempoh PKP 3.0 sekarang.

 

“Selain itu, terdapat juga isu-isu yang perlu diambil tindakan dengan kadar yang segera melibatkan kepentingan ahli-ahli NUBE. Ini termasukah isu pelaksanaan VSS  dan MSS oleh HSBC, yang melibatkan 600 pekerja kumpulan B40 dan M40 sekarang.

 

“HSBC telah mengumumkan pelaksanaan VSS dan MSS pada hari ketiga PKP 3.0 dilaksanakan, iaitu pada 3 Jun 2021.  Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan tahu perkara itu, namun mengiktiraf tindakan terkutuk ini dan membenarkan pekerja-pekerja dianiayai,” kata Solomon.

 

Malah ujar beliau, pengurusan HSBC sendiri telah memaklumkan kepada NUBE bahawa Kementerian Sumber Manusia tidak ada sebarang halangan untuk pemberhentian kerja melalui VSS dan MSS dan, pelaksanaan itu diumumkan ketika rakyat termasuk ahli-ahli NUBE berhadapan dengan PKP 3.0. – DagangNews.com