NurulHidayah Ahmad Zahid kini Pengerusi MQTech | DagangNews Skip to main content

NurulHidayah Ahmad Zahid kini Pengerusi MQTech

Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid ditetapkan semula sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif MQ Technology Bhd. (MQTech) berkuat kuasa hari ini. 

 

Beliau sebelum ini merupakan naib pengerusi syarikat pembuatan acuan industri itu sejak dilantik ke jawatan tersebut pada 2 Jun lalu, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Nurulhidayah, 44, adalah anak kepada Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik Jumaat lalu. 

 

Antara pengalamannya termasuk berkhidmat sebagai Naib Presiden Komunikasi Korporat (Pengurus Besar) di Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dari Disember 2012 hingga April 2016.

 

Dalam makluman berasingan, MQTech turut mengumumkan pengerusinya, Datuk Lim Char Boo, 68 ditetapkan semula sebagai Naib Pengerusi, juga berkuat kuasa hari ini.

 

Ketika penutupan petang ini, harga saham MQTech muncul kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia, menokok 1.5 sen atau 27.27% kepada 7 sen dengan 305.06 juta saham diniagakan. 

 

Baca : Jawatan menantu TPM ditetapkan semula sebagai Presiden Jiankun berkuat kuasa hari ini

 

Selain itu, saham yang turut dikaitkan dengan Zahid Hamidi ialah SM Technology Bhd (SMTrack) juga aktif diniagakan dengan mengakhiri dagangan pada 8 sen setelah meningkat 1.5 sen atau 23.08%. 

 

Menantu Zahid Hamidi, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff adalah Ahli Lembaga Pengarah Jiankun International Bhd. dan SMTrack. - DagangNews.com