OCBC, CGC sediakan kemudahan jaminan portfolio sehingga RM100 juta | DagangNews Skip to main content

OCBC, CGC sediakan kemudahan jaminan portfolio sehingga RM100 juta

KUALA LUMPUR 14 Nov - OCBC Bank (Malaysia) Bhd bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk menyediakan kemudahan  jaminan portfolio (PG) berjumlah sehingga RM100 juta tahun ini.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, kedua-dua syarikat itu berkata menerusi pembiayaan ini, skim PG OCBC Malaysia bersama CGC telah mencecah angka RM1 bilion.

 

Kenyataan bersama itu turut menyatakan tranche PG semasa membabitkan RM50 juta dalam bentuk kemudahan konvensional dan RM50 juta lagi menerusi kemudahan perbankan Islam dengan kemudahan perbankan Islam akan disediakan menerusi anak syarikat perbankan Islam OCBC Bank, OCBC Al-Amin.

 

“Skim PG ini dijamin sebahagiannya oleh CGC, pada nilai 70 peratus daripada jumlah kemudahan, untuk tempoh sehingga lima tahun.

 

"Jumlah pembiayaan yang disediakan kepada Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah sehingga RM600,000 tanpa memerlukan cagaran,” kata OCBC Bank dan CGC.

 

Malah buat julung kalinya, tranche akan disediakan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) secara digital menerusi platform digital OCBC Bank dan OCBC AlAmin, iaitu BizFinancing dan BizFinancing-i.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata PG ini akan memberi manfaat kepada pelanggan PMKS OCBC Bank dan OCBC Al-Amin.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank Tan Chor Sen berkata  bank itu sentiasa berusaha untuk memberikan tahap kemudahan lebih tinggi kepada PMKS untuk memenuhi keperluan modal kerja mereka.

 

“Sebagai bank yang berkembang maju dengan tawaran digital, kami berbesar hati untuk melancarkan PG digital perintis ini bagi PMKS,” katanya.

 

OCBC Bank, menerusi OCBC Al-Amin, telah menjadi penggerak utama inisiatif untuk menyediakan pembiayaan tidak bercagar sempena dengan pelancaran OCBC AlAmin Business Cash-i (BC-i) pada 2014. - DagangNews.com