The Ocean Cleanup, MHE-Demag jalin kerjasama pengeluaran Interceptor | DagangNews Skip to main content

The Ocean Cleanup, MHE-Demag jalin kerjasama pengeluaran Interceptor

The Ocean Cleanup

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - Syarikat teknologi penyingkiran lambakan plastik dari Belanda, The Ocean Cleanup mengumumkan pemilihan anak syarikat Konecranes iaitu MHE-Demag sebagai rakan kongsi bagi membentuk, membuat dan menyenggara Interceptor oleh The Ocean Cleanup bagi memerangkap plastik dari sungai sebelum memasuki laut.

 

Langkah tersebut penting kepada The Ocean Cleanup bagi menangani masalah 1,000 sungai paling tercemar di dunia.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat berkata, pihaknya sangat gembira melihat pengeluaran bersiri Interceptor yang telah bermula menjelang akhir tahun yang mencabar.

 

"Saya percaya Konecranes adalah syarikat yang terbaik untuk bersama memikul tanggungjawab tersebut dan saya harap lebih banyak lagi pembinaan Interceptors akan dilakukan oleh mereka pada tahun-tahun mendatang. 

 

The Ocean Cleanup

 

"Saya amat berterima kasih atas komitmen mereka untuk membersihkan lautan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Di Malaysia, sebanyak 5% lembangan sungai dikategorikan sebagai tercemar teruk, 42% tercemar dan hanya 53% diklasifikasikan sebagai bersih. 

 

Buat pertama kalinya, The Ocean Cleanup memperkenalkan The Interceptor pada 2019 dan menguji salah satu jentera berkenaan di Malaysia di Sungai Klang pada 2019 untuk menghidupkan semula sungai-sungai yang tercemar daripada sampah sarap.

 

The Ocean Cleanup

 

Kerjasama antara The Ocean Cleanup dan MHE-Demag didorong oleh kepakaran serta kehadiran kedua-dua syarikat berkenaan di seluruh dunia. 

 

Dalam persiapan untuk berkembang ke peringkat global, Interceptors 005 dan 006 kini dalam proses pembuatan secara serentak di kemudahan MHE-Demag di Klang, Malaysia dan dijangka siap pada Mei 2021. 

 

Melangkah ke hadapan, MHE-Demag akan mengendalikan pembuatan, pemasangan serta penyelenggaraan Interceptor, manakala rakan kongsi tempatan akan mengawasi operasi dan The Ocean Cleanup pula akan terus bertindak sebagai penyedia teknologi serta praktis terbaik di samping memimpin pembangunan perniagaan untuk projek Interceptor yang akan datang.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Kren dan Produk Perindustrian, Asia Pasifik, Karl Tilkorn memberitahu, sepanjang 48 tahun, MHE-Demag telah membina jenama melalui kemampuan kejuruteraan yang luar biasa dengan tenaga kerja yang terbaik dalam industri. 

 

 Karl Tilkorn
 Karl Tilkorn

 

"Keupayaan kami untuk mereka bentuk dan menghasilkan penyelesaian yang direka atau disesuaikan telah menyaksikan kami meraih pelbagai projek signifikan di rantau ini, dan sehingga kini kami masih lagi menyelenggara projek-projek berkenaan. 

 

"Kami berbesar hati untuk berkolaborasi bersama The Ocean CleanUp dalam reka bentuk dan pembuatan Interceptor, dalam usaha membantu hasrat murni untuk mengatasi pencemaran sungai di seluruh dunia," tambah beliau. - DagangNews.com