Ocean Vantage raih kontrak bernilai RM71.3 juta untuk projek loji gas darat Petronas di Bintulu | DagangNews Skip to main content

Ocean Vantage raih kontrak bernilai RM71.3 juta untuk projek loji gas darat Petronas di Bintulu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Ocean Vantage Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Ocean Vantage Engineering Sdn. Bhd. berjaya mendapatkan projek bernilai RM71.3 juta untuk kerja-kerja kejuruteraan awam, bangunan dan penanam cerucuk bagi loji gas darat baharu milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau Kemudahan Penjualan Gas Tambahan 2 atau BAGSF-2 di Bintulu, Sarawak.

 

Kontrak itu dianugerahkan oleh Petrofac Engineering Services (M) Sdn. Bhd. yang dilantik Petronas Carigali Sdn. Bhd. yang merupakan kontraktor utama untuk loji gas berkenaan.

 

Pengarah Eksekutif Ocean Vantage, Stephen Yau Kah Tak berkata,  pihaknya sangat berbesar hati apabila dipilih oleh Petrofac Malaysia untuk mengambil bahagian dalam projek loji gas berskala belajar di Bintulu yang akan memiliki kapasiti 390 juta kaki padu setiap hari apabila siap sepenuhnya.

 

Beliau berkata, selain sudah biasa dengan persekitaran operasi tempatan, pengalaman serta pengetahuan teknikal yang dimiliki kumpulan itu selain rekod penyampaian akan mempengaruhi prestasi mereka.

 

"Kerja-kerja kejuruteraan awam, bangunan dan penanam cerucuk juga memerlukan kemahiran khusus dalam memastikan ia sempurna selain selamat untuk semua.

 

"Kemahiran yang kami miliki memberi penjelasan kenapa kami berjaya mendapatkan margin keuntungan yang selesa berbanding margin satu digit daripada kerja-kerja biasa. 

 

"Kontrak ini juga menjadi kejayaan yang sangat bermakna untuk kami dalam aktiviti hiliran dalam sektor minyak dan gas kerana sebelum ini, kami lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja huluan," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Difahamkan, Petronas memperuntukkan sejumlah RM20 bilion untuk perbelanjaan modal (capex) setahun bermula 2022 hingga 2027 dengan 60% akan digunakan untuk perbelanjaan domestik.

 

Beliau berkata, ia merupakan masa yang sesuai untuk kami kerana pelbagai aktiviti sedang berlaku di Bintulu dan pihaknya yakin akan memperoleh lebih banyak kontrak untuk masa hadapan dalam usaha mengekalkan momentum prestasi kewangan kumpulan.

 

Projek berkenaan telah bermula pada 1 April 2022 dengan Vantage Ocean dijangka menyiapkan kemudahan di tapak sementara pada 2 Jun 2022 manakala kerja-kerja kejuruteraan awam, bangunan dan penanaman cerucuk  akan siap pada 30 April 2023. - DagangNews.com