Ogos 2020: Eksport Malaysia merosot 2.9% | DagangNews Skip to main content

Ogos 2020: Eksport Malaysia merosot 2.9%

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Eksport Malaysia pada Ogos 2020 merosot 2.9% tahun ke tahun kepada RM79.1 bilion, sementara import berjumlah RM65.9 bilion, menguncup 6.5%. 

Ini telah menghasilkan lebihan dagangan berjumlah RM13.2 bilion pada Ogos 2020, meningkat 19.7% tahun ke tahun. 

Jumlah dagangan bernilai RM145.1 bilion, menurun 4.6% tahun ke tahun.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan bulan ke bulan, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 14.5%, 2.2%, 9.3% dan 47.5%.

“Eksport yang lebih rendah pada Ogos 2020 dicatat ke Bangladesh, Thailand, India, Jepun, dan Indonesia. Walau bagaimanapun, eksport ke China dan Amerika Syarikat meningkat.

“Eksport barangan pembuatan yang merupakan 86.6% daripada jumlah eksport, merosot 0.1% kepada RM68.6 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

“Eksport keluaran pertanian yang mewakili 7.2% eksport Malaysia merosot 4.5% kepada RM5.7 bilion tahun ke tahun. Sementara itu, eksport hasil perlombongan lebih rendah sebanyak 25.9% kepada RM4.6 bilion, dan menyumbang 5.8% daripada eksport Malaysia,” kata Mohd. Uzir dalam Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Ogos 2020.

 

Eksport

 

Dalam pada itu, import yang lebih rendah pada Ogos 2020 dicatatkan dari China, Korea Selatan, Kesatuan Eropah, Thailand dan Singapura. 

Bagaimanapun, import yang lebih tinggi dicatatkan dari Taiwan dan Switzerland.

“Import barangan pembuatan menurun 8.6% tahun ke tahun kepada RM56.2 bilion dan menyumbang 85.2% daripada import Malaysia. Import hasil perlombongan yang merangkumi 6.4% daripada jumlah import menurun 3.9% tahun ke tahun kepada RM4.2 bilion. 

“Walau bagaimanapun, import hasil pertanian yang mewakili 5.6% daripada jumlah import, meningkat 1.8% kepada RM3.7 bilion. Import mengikut penggunaan akhir mencatatkan penurunan untuk barangan modal dan barangan perantaraan, yang masing-masing menurun 15.5% dan 5.6%. 

“Sementara itu, import barangan penggunaan meningkat 2.9% berbanding Ogos 2019,” tambah beliau. .

Bagi tempoh lapan bulan pertama 2020, eksport berjumlah RM620.6 bilion, menyusut 5.8% berbanding tempoh yang sama 2019. Sementara itu, import merosot 7.3% kepada RM517.7 bilion. 

Jumlah dagangan berjumlah RM1.1 trilion, juga menurun 6.5%. Sebaliknya, lebihan dagangan mencatatkan peningkatan 2.9% kepada RM103.0 bilion. - DagangNews.com