Oktober 2020: 3 syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi semula di KLIA | DagangNews Skip to main content

Oktober 2020: 3 syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi semula di KLIA


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Langkah keselamatan COVID-19 yang berkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus menyumbang kepada peningkatan keyakinan perjalanan udara. 

Pada awal Oktober 2020, tiga lagi syarikat penerbangan antarabangsa menyambung semula operasi di KLIA.

Ini melibatkan empat penerbangan dalam seminggu oleh British Airways, Oman Air (2 kali penerbangan seminggu) dan Ethiopian Airlines (sekali seminggu).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh menyatakan bahawa KLIA mengekalkan jumlah operasi penerbangan kargo yang sama sejak 2019. 

 

shukrie
Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

 

“Terdapat 21 syarikat penerbangan kargo di KLIA (termasuk charter). Walaupun pada awalnya terdapat penurunan muatan pada Mac dan April susulan kekurangan kapasiti ‘belly cargo’, kekurangan kapasiti ini segera diambil oleh syarikat penerbangan kargo penuh.

“Ini membuktikan KLIA kekal sebagai hab serantau yang menarik untuk penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut MAHB, lapangan terbang di Malaysia terus menyaksikan peningkatan bulanan dalam kedua-dua pergerakan trafik dan penumpang. 

Pada September 2020, pergerakan trafik penumpang melonjak 19% berbanding Ogos kepada 1.7 juta, manakala pergerakan pesawat meningkat 9.8% kepada 27,010. 

Sementara itu, operasi MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul pula menyaksikan hampir 2 juta penumpang pada bulan lalu dengan 5 syarikat penerbangan antarabangsa yang beroperasi. 

Sepanjang tahun ini, operasi penerbangan kargo di Malaysia kekal stabil walaupun pergerakan pesawat penumpang menurun secara mendadak, tambah MAHB. 

“Menerusi pengoperasian hab e-pemenuhan yang bakal dilancarkan di KLIA Aeropolis - usaha sama antara MAHB dan unit logistik Kumpulan Alibaba, Cainiao - akan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab pengedaran serantau,” tambah Mohd. Shukrie. - DagangNews.com