Oliver Tan dilantik selaku Pengarah Urusan RHB Insurance bermula 21 Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Oliver Tan dilantik selaku Pengarah Urusan RHB Insurance bermula 21 Februari 2022

KUALA LUMPUR 21 Feb - RHB Banking Group melantik Oliver Tan selaku Pengarah Urusan RHB Insurance Berhad bermula 21 Februari 2022 bagi menggantikan Kong Shu Yin yang bersara pada hari sama. 

 

Kumpulan itu berkata, Oliver memiliki pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang insurans tempatan dan antarabangsa.

 

Sebelum menyertai RHB Insurance, beliau menyandang pelbagai jawatan termasuk ketua pegawai operasi di MPI Generali Insurans Berhad, Swiss Reinsurance Company Ltd. di cawangan Kuala Lumpur bagi menguruskan operasi perniagaan di Malaysia, Vietnam, Kemboja, Laos, Brunei dan Myanmar.

 

Beliau juga pernah menjawat pelbagai jawatan di AIU Insurance Company Ltd. di Shanghai dan AXA General Insurance Hong Kong Ltd.

 

Oliver memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Staffordshire Polytechnic di United Kingdom (UK) dan Sijil Amalan Perundangan dari Universiti Malaya selain merupakan fellow kepada Institut Insurans Malaysia sejak 2017.

 

Pegawai Utama RHB Banking Group, Mohd. Rashid Mohamad  berkata, Oliver akan membawa bersamanya pengalaman yang luas dalam bidang insurans kepada syarikat itu.

 

"Pelantikan beliau sebagai pengarah urusan RHB Insurance akan mengukuhkan lagi kedudukan pasukan pengurusan kanan syarikat itu.

 

"Pengalaman serta rekod perkhidmatannya selama ini akan membantu menyumbang kepada menguatkan kedudukan RHB Insurance dalam industri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com