OM Holdings catat untung bersih RM344 juta bagi FY2021 | DagangNews Skip to main content

OM Holdings catat untung bersih RM344 juta bagi FY2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Feb - OM Holdings Limited mencatatkan keuntungan bersih sebanyak AS$81.9 juta (RM343.86 juta) bagi FY2021 berakhir 31 Disember 2021 berbanding AS$5.4 juta (RM22.67 juta) pada FY2020.

 

Syarikat peleburan mangan dan silikon itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) FY2021 meningkat sebanyak 161.5% kepada AS$204 juta (RM856.49 juta) berbanding AS$78 juta (RM327.48 juta) pada FY2020.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 33% kepada AS$1.04 bilion (RM4.37 bilion) pada FY2021 berbanding AS$784.6 juta (RM3.2 bilion) pada FY2020 akibat permintaan tinggi terhadap bijih mangan dan aloi mangan (terutama mangan silikat) selain peningkatan harga ferroaloi.

 

"Keuntungan kasar kumpulan juga meningkat sebanyak 185% kepada AS$274.5 juta (RM1.1 bilion) pada FY2021 menyebabkan peningkatan margin keuntungan sebanyak 26.4% berbanding AS$96.3 (RM404.32 juta) juta pada FY2020.

 

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Low Ngee Tong berterima kasih di atas sumbangan semua kakitangan dalam memberikan keputusan kewangan yang baik untuk kumpulan. 

 

Katanya, meskipun berdepan cabaran besar terutama berkaitan kakitangan akibat pandemik COVID-19, pihaknya gembira kerana berjaya mencatatkan keputusan yang cemerlang dari segi kewangan.

 

mangan

 

"Pemegang saham sudah pasti gembira dengan pertambahan aliran tunai syarikat yang membolehkan kumpulan menurunkan hutang dan membayar dividen yang kompetitif.

 

"Kami akan terus bekerja keras untuk terus menjadi pengeluar ferroaloi yang bertanggungjawab secara sosial dan mampan untuk bekalan kepada global sektor pembuatan keluli," katanya. - DagangNews.com