Omesti dapat kontrak AwAS JPJ bernilai lebih RM14 juta | DagangNews Skip to main content

Omesti dapat kontrak AwAS JPJ bernilai lebih RM14 juta

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Syarikat perisian komputer, Omesti Berhad (Omesti) menerusi anak syarikat dengan 51% pemegangan saham, Formis Network Services Sdn. Bhd. (FNS) menerima surat tawaran (LOA) kontrak oleh Jabatan Pengangkutan (JPJ).

Kontrak itu melibatkan projek Perkhidmatan Penyelenggaraan Perkakasan Perisian dan Sokongan Teknikal Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Perkara itu diumumkan Omesti menerusi pengumuman syarikat Bursa Malaysia yang turut mendedahkan projek berkenaan berdurasi 18 bulan bermula 14 September 2020 hingga 13 Mac 2022 dengan nilai keseluruhan  RM14,440,949.47.

“Kontrak itu tertakluk kepada penerimaan LOA oleh FNS dan perjanjian formal yang akan diputuskan antara JPJ dan FNS.

“LOA berkenaan tidak akan memberi kesan ke atas modal saham yang telah dikeluarkan dan pemegangan saham besar oleh pemegang saham syarikat. 

“LOA itu secara positif dijangka menyumbang kepada hasil, perolehan sesaham dan aset bersih sesaham Kumpulan Omesti,” kata Omesti.

Dalam masa sama, LOA itu juga tidak akan memberi kesan ketara terhadap penyesuaian kumpulan berkenaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 dan seterusnya sehingga tamat kontrak. 

“Kumpulan syarikat tidak melihat sebarang risiko utama selain risiko operasi berkaitan LOA ketika tempoh kontrak. 

“Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama syarikat dan/atau pihak berkaitan mereka mempunyai sebarang faedah secara langsung atau tidak langsung dengan LOA. 

“Lembaga pengarah berpendapat bahawa penerimaan LOA itu adalah untuk kepentingan terbaik Kumpulan Omesti,” tambah syarikat itu. - DagangNews.com