KUALA LUMPUR 6 Sept - Peneraju reka bentuk dan pembuatan komponen gerudi, OMNI Oil Technologies (M) Sdn Bhd melancarkan 'VDP PDC steel body drill bits' pertama Malaysia.
Komponen buatan tempatan dan diiktiraf oleh Petronas itu bakal memacu pembangunan teknologi peralatan medan minyak huluan di Malaysia.
Seiring dengan pelancaran itu, OMNI turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat teknologi global, Schlumberger (SLB).
Turut hadir dalam majlis tandatangan itu ialah Pengarah Urusan OMNI, Nik Mustapha Fathil Nik Mahmud dan Pengurus Pemasaran GeoUnit SLB Asia Timur, Amin Said.
Menerusi MoU itu, OMNI berkta, ia akan membekalkan komponen penyempurnaan ke GeoUnits SLB di seluruh dunia.
“Fasa baharu kerjasama ini memberikan peluang untuk meneroka kontrak pembuatan kepala telaga serta memanfaatkan kepakaran kami untuk mempelbagaikan penawarannya serta memenuhi keperluan industri minyak dan gas yang sentiasa berkembang.
“Perkembangan ini juga menekankan peranan OMNI sebagai peneraju dalam kemajuan teknologi peralatan medan minyak huluan di Malaysia,” kata OMNI.
Nik Mustapha berkata, pelancaran'VDP PDC steel body drill bits' digabungkan pula dengan kerjasamanya bersama SLB, menandakan pencapaian penting bagi OMNI bagi memajukan kepakaran tempatan dan menyampaikan teknologi gerudi buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa.
“Kemajuan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri minyak dan gas, malah turut mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan kerjasama pilihan bagi pelanggan yang mencari produk kepala telaga buatan khas yang berkualiti tinggi,” ulas beliau.
Di samping itu, Pengurusan Petroleum Malaysia, Meng Keong Lee berkata, kerjasamanya dengan OMNI sejak 2013 yang bermula dengan mengeksport alat dan aksesori penyempurnaan buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa kini sudah berkembang dengan pesat.
“Dalam usahasama ini, kami telah berjaya menyampaikan produk berkualiti tinggi buatan Malaysia ke 43 negara di seluruh dunia.
“Ini menunjukkan pengiktirafan global terhadap keupayaan kejuruteraan negara kita,” ujar beliau. - DagangNews.com