Op Patuh: Premis perniagaan & kilang di Shah Alam dikompaun RM388,000 | DagangNews Skip to main content

Op Patuh: Premis perniagaan & kilang di Shah Alam dikompaun RM388,000

Kilang dikompaun. (Gambar hiasan) Kredit foto Harian Metro.

KUALA LUMPUR 6 Julai - Premis perniagaan dan kilang di kawasan Shah Alam yang melanggar SOP dikenakan kompaun berjumlah RM388,000.

 

Jumlah tersebut meliputi 41 kompaun yang dikeluarkan sejak operasi Op Patuh dimulakan pada 2 Julai baru-baru ini.

 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya memeriksa 374 kilang sebagai usaha mengekang sebarang operasi yang dilarang serta aktiviti yang tidak mematuhi SOP.

 

"19 kilang dan 13 premis perniagaan dikenakan notis kompaun masing-masing bernilai RM10,000.

 

"Sembilan individu dan pekerja juga dikenakan notis kompaun sebanyak RM2,000.

 

"Kesalahan yang sering dilakukan adalah gagal menetapkan laluan masuk dan keluar yang khusus serta gagal mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Selain kompaun berkenaan, empat lagi kompaun dikeluarkan kepada mereka yang beroperasi tanpa persetujuan MITI dan tergolong sebagai perkhidmatan tidak perlu.

 

Sementara itu, hasil pemeriksaan turut merekodkan dua kes kilang yang beroperasi dengan kapasiti pekerja melebihi had ditetapkan selain membenarkan pekerja makan di kantin kilang.

 

Pemeriksaan berkenaan turut disertai pegawai dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Bandaraya Shah Alam serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

 

Kesalahan tersebut dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - DagangNews.com