Opcom cadang ambil alih 49% kepentingan dalam Transgrid Venture pada harga RM98 juta | DagangNews Skip to main content

Opcom cadang ambil alih 49% kepentingan dalam Transgrid Venture pada harga RM98 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Opcom Holdings Berhad bercadang untuk mengambil alih 49% kepentingan atau 5.39 juta saham dalam Transgrid Ventures Sdn. Bhd. pada harga RM98 juta.

 

Opcom, pengeluar kabel gentian optik berkata, cadangan pengambilalihan itu akan dipenuhi melalui gabungan tunai dan terbitan saham baharu dalam kumpulan itu.

 

Katanya, kertas cadangan itu dijangka siap pada suku keempat 2023.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, Transgrid Ventures terlibat dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) infrastruktur pencawang dan pengagihan kuasa.

 

Syarikat itu juga menjalankan pengurusan projek dan perundingan kejuruteraan bagi infrastruktur penghantaran dan pengagihan kuasa serta bekalan dan penyelenggaraan peralatan untuk pencawang penghantaran dan pengagihan kuasa.

 

Kumpulan itu berkata, anak syarikat Transgrid Ventures, Raub Energy Ventures Sdn Bhd juga dalam peringkat akhir membina dan mentauliahkan loji tenaga boleh diperbaharui (RE) menggunakan bahan mentah biojisim (khususnya tandan sawit) di Raub, Pahang, yang akan mampu menjana 4MW elektrik ke Grid Nasional Malaysia.

 

Loji janakuasa itu dijadualkan siap untuk dikomersialkan pada suku keempat 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Transgrid Group, Datuk Seri J.O. Nantha Kumar J.C. Ramalu berkata, pihaknya sangat teruja dengan potensi pertumbuhan industri bekalan elektrik Malaysia dan sektor RE.

 

Katanya, permintaan elektrik yang semakin meningkat di negara ini akan menyokong permintaan untuk perkhidmatan EPCC infrastruktur penghantaran dan pengagihan kuasa.

 

"Langkah Kerajaan Malaysia untuk meningkatkan sasaran campuran kapasiti RE daripada 40% kepada 70% daripada jumlah kapasiti negara menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Pembangunan Strategik Tenaga Boleh Diperbaharui memberikan peluang kepada pengeluar RE," katanya.- DagangNews.com