KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kenanga Research menjangkakan operasi hospital baharu milik KPJ Healthcare Bhd. dijangka mengheret turun pendapatan kumpulan pada suku berikutnya meskipun ia merekodkan untung bersih sebanyak RM49.29 juta pada separuh pertama.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 itu, untung bersih KPJ melonjak 147% daripada RM19.93 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu dengan pendapatan meningkat kepada RM1.36 bilion daripada RM1.24 bilion.
Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, prestasi kewangan pada separuh pertama itu mengecewakan memandangkan kunjungan pesakit menurun daripada jangkaan.
Katanya, daya tampung pesakitnya akan terus pulih dengan kembalinya pembedahan elektif apabila wabak itu semakin hampir berakhir.
"Bagaimanapun, ini mungkin tidak menyokong keuntungannya kerana struktur kosnya yang tinggi, termasuk perbelanjaan praoperasi bagi Fasa 2 Hospital Pakar KPJ Damansara yang akan memulakan operasi pada akhir suku ketiga ini.
"Sementara itu, hospital baharu lain (seperti KPJ Bandar Dato’ Onn, KPJ Perlis dan KPJ Miri) akan terus membebankan pendapatan kumpulan secara menyeluruh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih KPJ melonjak 3 kali ganda pada suku kedua kepada RM27.09 juta
Pada suku keempat berakhir 30 Jun 2022, untung bersih KPJ melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM27.09 juta daripada RM6.96 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat kepada RM707.57 juta daripada RM632.83 juta.
Dalam tempoh berkenaan, lawatan pesakit dan kadar penggunaan katil (BOR) masing-masing meningkat kepada 802,840 dan 51% daripada 758,629 dan 41% berbanding tempoh sama pada 2021.
Untuk tempoh separuh pertama 2022, operasinya di Malaysia meyumbang dengan ketara kepada pendapatan kumpulan berjumlah RM1.3 bilion, meningkat 10% daripada RM1.18 bilion dengan lawatan pesakit bagi tempoh separuh pertama itu meningkat 8% kepada 1.48 juta berbanding 1.37 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2021.
Dengan mengambil kira unjuran kedatangan pesakit yang lebih rendah, Ping Khoon mengurangkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 4%.
Namun, beliau mengekalkan harga sasaran KPJ pada 87 sen berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) 25 kali bagi FY23.
Secara keseluruhan, Kenanga Research masih mengekalkan pandangan 'market perform' terhadap KPJ.
Setakat 11.57 pagi ini, harga saham KPJ kekal tidak berubah pada 88 sen dengan 258,700 saham diniagakan. - DagangNews.com