Operasi InNature di Vietnam dijangka beransur pulih pada 2HFY22, kata CGS-CIMB Research | DagangNews Skip to main content

Operasi InNature di Vietnam dijangka beransur pulih pada 2HFY22, kata CGS-CIMB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan operasi InNature Berhad di Vietnam akan beransur pulih pada 2HFY22 selaras dengan perniagaan di Malaysia dan Kemboja.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berkongsi pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) pada 1HFY22 positif untuk operasi di Malaysia (+20.2%) dan Kemboja (+3.9%), tetapi masih negatif untuk Vietnam (-7.5%).

 

Katanya, operasi di Vietnam menunjukkan pemulihan yang lambat kesan daripada pembukaan semula sekatan akibat COVID-19 dan jualan pada Januari-Mei 2021 kembali menghampiri tahap sebelum pandemik sebelum penutupan ekonomi dimulakan semula pada Jun 2021.

 

"InNature menjangkakan pendapatan Vietnam pulih pada 2HFY22 dengan pemulihan mungkin dijangka perlahan.

 

"Kami berpendapat, pemulihan itu mungkin perlahan kesan daripada inflasi yang tinggi dan persaingan yang semakin meningkat dalam ruangan penjagaan diri serta kosmetik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, InNature merancang untuk terus memberi fokus untuk mengembangkan kedai konsep yang lebih besar di semua negara operasinya.

 

Katanya, perancangan itu dibuat berdasarkan kepada peningkatan produktiviti kedai sebanyak 14.0% pada 1HFY22.

 

"Kami percaya ini adalah perkembangan positif kerana kedai konsep baharu menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik dengan reka bentuk dalam kedai yang dipertingkatkan yang membantu meningkatkan jualan setiap kedai dan kecekapan operasi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' kepada saham InNature dengan harga sasaran (TP) 55 sen sesaham. - DagangNews.com