Operasi perniagaan tidak terjejas, Artroniq teliti faktor penyumbang kepada turun naik harga saham syarikat | DagangNews Skip to main content

Operasi perniagaan tidak terjejas, Artroniq teliti faktor penyumbang kepada turun naik harga saham syarikat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Artroniq Berhad menegaskan bahawa operasi perniagaan kumpulan itu tidak terjejas dan pada masa sama sedang meneliti faktor-faktor penyumbang kepada turun naik harga saham syarikat itu.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, perniagaan teras mereka termasuk semikonduktor, pemasangan kenderaan elektrik dan inovasi blockchain masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

 

"Kami sedar tentang kebimbangan pihak berkepentingan mengenai harga saham kumpulan dan kami akan memastikan semua pihak akan mendapat makluman sewajarnya.

 

"Inisiatif strategik kami dalam sektor utama seperti semikonduktor dan kenderaan elektrik, termasuk kerjasama kami dengan United E-Motor, semakin maju," katanya.

 

Terdahulu, Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran (UMA) kepada Artroniq mengenai kejatuhan mendadak harga sahamnya pada 17 Januari 2024.

 

Bursa Malaysia, dalam pertanyaannya, meminta kumpulan itu mendedahkan sebarang perkembangan korporat, khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti pasaran.

 

Sementara itu, Artroniq yakin dengan hala tuju strategik dan potensi pertumbuhan syarikat walaupun berdepan cabaran pasaran.

 

"Kami menjanjikan ketelusan berterusan kepada semua pihak berkepentingan dan terus fokus kepada penyampaian nilai melalui penyediaan rumusan teknologi yang inovatif dan mampan," katanya.

 

Pada pukul 5 petang, saham Artroniq susut sebanyak 26 sen atau 52.5% untuk ditutup pada harga 23 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM95.9 juta. - DagangNews.com