KUALA LUMPUR 8 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Januari depan diikuti pada Mei menjadikan kadar itu berlegar sekitar 3.25%, demikian menurut Standard Chartered Global Research.
Sebelum ini, firma itu mengunjurkan tiada kenaikan OPR selepas November sehinggalah suku ketiga 2023, namun menyemak semula unjurannya setelah mengambil kira pemulihan ekonomi yang kukuh.
Ia mendapati inflasi terus meningkat walaupun diimbangi dengan pemberian subsidi oleh kerajaan dengan gaji juga meningkat.
"Faktor ini memperkukuhkan lagi unjuran kami terhadap kenaikan OPR daripada 3.00% kepada 3.25%. Tetapi, kami mengekalkan pandangan bahawa bank pusat mungkin kekal pada kenaikan 25bps di sebalik kenaikan kadar yang lebih agresif oleh bank pusat utama.
"Jangkaan kami kenaikan pada Mei pula berdasarkan kepada kemungkinan perubahan subsidi pada separuh kedua 2023, yang mungkin memerlukan kenaikan kadar lain terutamanya jika permintaan domestik kekal kukuh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Minggu lalu, BNM memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.75%. Ia adalah kenaikan buat kali keempat berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan daripada paras terendah 1.75% sebelum itu.
Susulan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.
Pada kadar OPR semasa, BNM menyifatkan pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Standard Chartered berkata, penyata dasar monetari November yang terkini itu menyokong unjurannya terhadap kenaikan OPR pada Januari memandangkan BNM melihat risiko kepada prospek inflasi 2023 semakin condong ke arah menaik.
Di samping itu, katanya, bank pusat mengekalkan pandangan positifnya mengenai permintaan dalam negeri, sambil menyatakan bahawa dasar monetari semasa adalah akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, mencadangkan pengetatan selanjutnya mungkin terkawal.
"Namun, kami melihat ruang untuk BNM sekurang-kurangnya menarik sekejap pemotongan kadar faedah yang disebabkan COVID-19 (sebelum pandemik ialah 3.00%), sebelum ia berhenti seketika.
"Setakat ini kenaikan 50 bps masih kekal dengan kebarangkalian yang sangat rendah," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu menjangkakan Malaysia akan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 7% pada tahun ini, berbanding 3.1% pada 2021.
Menurutnya, jualan runcit berkembang 37% tahun ke tahun bagi tempoh Jun hingga Ogos, dengan penggunaan swasta merangkumi kira-kira 113% daripada pertumbuhan KDNK suku kedua.
Katanya, perbelanjaan secara agresif, pengeluaran dana pencen awal, kenaikan gaji di tengah-tengah pasaran buruh yang semakin pulih dan pengecualian cukai jualan kenderaan adalah pemacu utama.
"Pertumbuhan pinjaman sejak Ogos telah meningkat lebih daripada 6% tahun ke tahun, didorong oleh pinjaman kepada sektor pembuatan, walaupun terdapat kelemahan dalam aktiviti pembinaan dan hartanah.
"Selain itu, bekalan buruh juga dijangka bertambah baik pada suku tahun hadapan," katanya.
Di samping itu, ia juga percaya perubahan kepada mekanisme subsidi, khususnya kepada had harga RON95, akan dibuat dengan cara yang sangat terkawal dan bersasar.
"Kami menganggarkan jika hanya 20% daripada pengguna RON95 disasarkan, inflasi utama mungkin hanya meningkat sebanyak 1.3% pada asas tahunan, atau separuh daripada itu jika harga baharu dikenakan pada separuh kedua 2023," tambahnya. - DagangNews.com