KUALA LUMPUR 4 April - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) bukan alat untuk menguruskan kadar pertukaran ringgit.
"Sebaliknya, BNM telah dan akan terus mengambil langkah-langkah bersepadu untuk menguruskan tekanan jangka pendek ke atas ringgit.
"Hal ini termasuk meningkatkan lagi usaha bagi menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan yang diperoleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), menggiatkan libat urus BNM dengan syarikat dan pelabur serta terus memantau amalan pengimport dan pengeksport tempatan serta berbincang dengan mereka berhubung dengan sebarang trend luar biasa yang diperhatikan.
"GLC dan GLIC tidak dikehendaki untuk mencairkan pelaburan asing mereka bagi membawa balik hasil pertukaran asing ke Malaysia," kata Bank Negara dalam kenyataan media.
Sebaliknya, BNM menggalakkan mereka untuk membawa balik pendapatan pelaburan pertukaran asing yang
telah diperoleh secara lebih berkala.
BNM mengalu-alukan pengakuan dan sokongan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) untuk menjadi sebahagian daripada pendekatan seluruh negara yang diperlukan bagi memastikan kestabilan ringgit.
BNM menggalakkan semua pihak untuk turut memberikan sokongan yang sama.
Rizab Antarabangsa
BNM juga menjelaskan rizab antarabangsa Malaysia adalah mencukupi dan memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek setakat 15 Mac 2024.
"Rizab antarabangsa BNM boleh digunakan sekiranya perlu," kata Bank Negara lagi.
Walau bagaimanapun, BNM terus melakukan tindakan ini sewajarnya. Selain itu, desentralisasi rizab antarabangsa Malaysia yang dilakukan sejak sekian lama telah menghasilkan pengumpulan aset luaran bukan rizab yang agak besar.
Bank-bank dan syarikat-syarikat korporat tempatan memegang lebih tiga perempat daripada aset luar negeri Malaysia.
Aset ini boleh digunakan untuk memenuhi obligasi hutang jangka pendek mereka tanpa perlu membuat tuntutan terhadap rizab antarabangsa. - DagangNews.com