OPR dijangka naik lagi pada Januari 2023 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

OPR dijangka naik lagi pada Januari 2023 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan sekali lagi kadar dasar semalaman (OPR) pada Januari 2023. 

 

MIDF Research percaya tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM adalah bagi memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

 

Katanya, dengan trend inflasi teras yang semakin meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, firma itu menjangkakan bank pusat akan menetapkan monetarinya ke paras pra pandemik iaitu 3.00% menjelang Januari 2023.

 

"Bagaimanapun, keputusan itu bergantung kepada kestabilan perkembangan ekonomi, kadar kenaikan harga dan peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh serta permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Daripada perspektif jangka sederhana, kadar normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam hutang isi rumah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25% kepada 2.75%.

 

Kadar itu yang menjadi penanda aras pinjaman dan simpanan itu menyaksikan kadar siling dan lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.

 

Firma itu berkata, kenaikan OPR daripada 2.5% kepada 2.75% adalah menepati jangkaan pasaran.

 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan menegaskan bahawa ekonomi global terus tertekan oleh inflasi kos, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan langkah pembendungan yang ketat di China.

 

Firma itu berkata, banyak negara akan terus melaksanakan dasar monetari penguncupan untuk menguruskan tekanan inflasi didorong oleh permintaan yang kukuh dan pasaran tenaga kerja yang ketat.

 

"Bank pusat itu juga menekankan pertumbuhan global untuk menghadapi cabaran daripada mengetatkan dasar monetari di banyak ekonomi, tekanan inflasi yang meningkat di pasaran maju dan cabaran domestik di China.

 

"Kami melihat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25bps lagi adalah tepat pada masanya, mengambil kesempatan daripada prestasi makroekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan," katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, BNM membayangkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 3QCY22 yang kukuh didorong penambah baikan dalam keadaan pasaran tenaga kerja dan prospek pendapatan, permintaan domestik yang teguh terus memacu aktiviti ekonomi tempatan.

 

Katanya, pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak April 2022 telah menggalakkan ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

"BNM juga menekankan prospek pelaburan yang akan disokong oleh pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur pada tahun hadapan.

 

"Mengenai perdagangan luar, prospek dilihat lebih suram disebabkan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan," katanya. - DagangNews.com