Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 1.75% adalah berpatutan.
Ini memandangkan pelbagai kemudahan kerajaan menerusi pakej-pakej Penjana dan Kita Prihatin, serta Belanjawan 2021 masih lagi berterusan atau akan dilaksanakan.
Jelas Tengku Zafrul, langkah-langkah yang telah dan akan terus dilaksanakan termasuk moratorium pinjaman, geran khas, Program Subsidi Upah (PSU) dan pembiayaan mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Tambahan pula, BNM juga telah mengumumkan perlanjutan fleksibiliti bagi institusi perbankan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sehingga 31 Disember 2022.
“Secara ringkasnya, langkah ini akan memastikan mudah tunai adalah mencukupi bagi menyokong aktiviti kewangan dan ekonomi.
“Gabungan keputusan mengenai OPR dan SRR dengan inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) – seperti mempercepatkan perolehan vaksin dan menggalakkan ujian saringan pekerja – adalah dilihat sebagai formula yang tepat bagi meletakkan Malaysia di landasan pemulihan, baik dari segi kesihatan awam, mahupun ekonomi, InsyaAllah,” ujarnya ketika menyampaikan Laporan Laksana Ke-37 hari ini.
Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan baharu iaitu Permai yang bernilai RM15 bilion susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir teruk di beberapa buah negeri.
Semalam, BNM menerusi MPC bersetuju untuk mengekalkan OPR pada kadar terendah, 1.75% selepas empat kali memotong kadar itu ke paras berkenaan pada tahun lalu.
Keputusan diambil MPC tepat seperti dijangkakan oleh rata-rata firma penyelidik dan penganalisis ekonomi.
Tambah Tengku Zafrul, kesemua langkah-langkah itu perlu lihat secara keseluruhan dan bukan secara persendirian.
“Kerajaan tetap akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membendung wabak COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com